KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila berjaya mempertahankan kerusi Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Kategori C bagi penggal 2026–2027.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, kemenangan yang menandakan kejayaan 11 penggal berturut-turut itu diperoleh selepas Malaysia meraih 129 undi daripada 171 undian sah, sekaligus menunjukkan keyakinan berterusan komuniti maritim global terhadap peranan dan sumbangan negara.
“Pencapaian tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen Malaysia dalam aspek keselamatan maritim, perlindungan alam sekitar laut serta pembangunan kapasiti di peringkat antarabangsa,” demikian menurut kenyataan itu.
Tambahnya, Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh penyertaan dalam program pembangunan kapasiti di bawah IMO serta memainkan peranan lebih aktif dalam jawatankuasa-jawatankuasa utama IMO demi memastikan sektor maritim global kekal selamat, mampan dan berdaya saing. – MalaysiaGazette
















