Dr. Azman Ibrahim

KUALA LUMPUR – Para pekerja ladang Felda Global Ventures (FGV) diminta bertenang susulan notis larangan menceroboh tanah yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Terengganu di 10 ladang yang diusahakan FGV di negeri itu bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kesemua pekerja ladang berkenaan tidak akan berdepan sebarang tindakan.

Malah kerajaan negeri juga telah menyediakan pelan terbaik buat pekerja ladang berkenaan sekiranya pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak lagi memerlukan khidmat mereka.

Terdahulu, dalam satu kenyataan hari ini, Azman berkata, tempoh 40 hari yang dipersetujui bersama antara kerajaan negeri dan Felda untuk penyelesaian isu tanah kerajaan negeri yang dibangunkan sebagai ladang komersial oleh Felda tanpa hak milik yang sah berakhir hari ini.

Bagaimanapun, ujarnya, sehingga kini, Felda gagal memberikan apa-apa maklum balas terhadap tuntutan kerajaan negeri.

Malah surat peringatan terakhir juga telah dihantar oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu kepada Pengarah Besar Felda pada 20 November lalu namun juga tidak mendapat apa-apa maklum balas.

“Mengambil kira isu ini telah berlanjutan selama 40 tahun tanpa penyelesaian walaupun kerajaan negeri telah membuka pelbagai ruang perbincangan dan rundingan, pihak kami merumuskan bahawa tindak balas negatif serta sikap berdolak dalih Pengurusan Felda adalah amat mendukacitakan,” ujarnya.

Tambah Azman, sebagai sebuah negeri berdaulat yang dilindungi oleh undang-undang, kerajaan negeri Terengganu tiada pilihan kecuali terpaksa bertindak demi menjaga kepentingan negeri selaras dengan peruntukan perundangan dalam Kanun Tanah Negara.

“Dalam mengatur fasa tindakan perundangan yang bakal bermula ini, aspek menjaga kebajikan pekerja adalah antara fokus utama kerajaan negeri agar mereka tidak menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan berganjak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menyita hampir 15,000 hektar tanah milik kerajaan negeri yang telah dibangunkan tanpa hak milik sah sejak tahun 1985 Felda.

Kerajaan negeri menuntut 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit) hasil ladang yang dibangunkan Felda di empat daerah iaitu Kemaman; Dungun; Marang dan Setiu sebagai syarat utama sebelum sebarang hak milik tanah diberikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast