Peguam yang mewakili Albert Tei, Mahajoth Singh dan Zaid Malek.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan Albert Tei direman selama enam hari untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Perintah reman selama enam hari sehingga Khamis ini dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Putrajaya, Fatin Muneerah Sofia.

Perkara ini dimaklumkan, peguam Albert Tei, Zaid Malek dan Peguam Shamsul Iskandar, Yusmadi Yusof kepada media sebentar tadi.

Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin diiring pegawai SPRM untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 NOVEMBER 2025

Shamsul Iskandar dan Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pukul 8.59 pagi dengan diiringi beberapa orang pegawai SPRM.

Kedua-dua mereka memakai baju yang bertulis “Lokap SPRM” berwarna oren dengan tangan bergari.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Albert Tei ditahan kerana menjadi individu paling penting dalam siasatan dakwaan membabitkan Shamsul Iskandar.

Ahli perniagaan, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing diiring pegawai SPRM untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 NOVEMBER 2025

Azam turut dipetik berkata, SPRM sudah menyerahkan notis Seksyen 28A (9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert, yang mana ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa yang menyiasat bagi menafikan hak individu disiasat untuk berhubung dengan peguam dan mana-mana pihak lain.

Sementara itu, Sofia Rini pula sudah direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast