KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencipta rekod paling tinggi dalam sejarah semua kementerian apabila menganjurkan 128 libat urus Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, penglibatan itu menunjukkan kerajaan sedia mendengar dengan hati terbuka, menerima segala cadangan dan teguran serta mencari jalan terbaik untuk membantu rakyat.
Beliau menegaskan, niat kerajaan melalui RUU PSB 2025 bersifat murni dan ikhlas khususnya untuk membantu penduduk yang tinggal di flat yang usang dan daif.
“Perkara ini bukan dilakukan tergesa-gesa kerana garis panduan PSB sudah wujud selama 13 tahun di bawah pentadbiran lima menteri tapi tiada seorang pun yang mahu membawa RUU ini supaya ada satu kerangka undang-undang dan punca kuasa jelas untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Dialog Perdana PSB yang dihadiri 2,000 orang, di sini, hari ini.

Pusat Konvensyen MPAJ, Taman
Melawati, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 NOVEMBER 2025
RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu.
RUU itu kemudian dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 28 Ogos namun tidak dibahaskan untuk diputuskan sebelum ia ditangguhkan.
Mengulas lanjut, Kor Ming memberitahu, kementerian bersedia untuk membentangkan semula RUU PSB 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Namun katanya, pembentangan itu tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Majlis Mesyuarat, sama ada ia boleh dibentangkan minggu depan berikutan jadual padat mesyuarat Dewan Rakyat minggu depan.
“Saya boleh katakan KPKT sudah bersedia sepenuhnya untuk meneruskan bacaan RUU ini tapi ia tertakluk kepada keputusan Ketua Majlis untuk mencari masa yang sesuai dengan jadual ketat sidang Dewan Rakyat, minggu depan,” katanya. – MalaysiaGazette

Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap pada majlis Dialog Perdana Pembaharuan Semula Bandar di
Pusat Konvensyen MPAJ, Taman
Melawati, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 NOVEMBER 2025
















