Allahyarham Konstabel Muhammad Rahimi Amirudin,

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan takziah terhadap keluarga anggota polis, Konstabel Muhammad Rahimi Amirudin, yang ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di kawasan Klinik Desa Giching, Sepang hari ini.

“Saya dimaklumkan bahawa beliau (Muhammad Rahimi) telah meninggal dunia setelah kenderaan yang dinaiki arwah terperangkap dalam banjir berhampiran Klinik Desa Giching, Sepang, Selangor.

“Sesungguhnya pemergian Allahyarham ini adalah kehilangan besar kepada seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh warga keselamatan tanah air,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham diberi keampunan, rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta dianugerahkan pahala untuk segala jasa sumbangan beliau kepada negara.

Mangsa dilaporkan dijumpai pada 7.30 pagi tadi pada jarak kira-kira 50 meter dari kenderaannya oleh anggota polis dan bomba yang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Berdasarkan maklumat awal, Muhammad Rahimi yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja selepas menziarahi keluarganya di Sepang.

Media sebelum ini melaporkan seorang pemandu kereta dipercayai lemas selepas gagal berenang meninggalkan Perodua Bezza dinaikinya yang terbabas ke dalam parit di kawasan banjir berhampiran Klinik Desa Giching, kira-kira 11 malam Jumaat.- BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast