Gisomo menawarkan pengalaman moden yang menggabungkan kopi berkualiti, menu kreatif Melayu–Barat dan suasana santai untuk komuniti Cyberjaya.

CYBERJAYA – Trend melepak di premis kafe minuman  berjam-jam sambil ditemani secawan kopi kini sudah menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat masa kini.

Apatah lagi, ruang dalaman premis yang selesa dengan kekemasan susun atur perabot dan bunyi mesin kisar kopi mewujudkan suasana santai kepada pengunjung kafe.

Ia bersesuaian dengan konsep kafe yang mahu menyediakan ruang ‘melepak’ alaf baharu bagi anak-anak muda sambil menikmati pelbagai menu makanan lain disediakan.

Buat mereka yang gemar melepak, Gisomo kini merupakan sebuah kafe gaya hidup baharu di Tamarind Square di sini di mana patut menjadi tempat wajib untuk disinggah.

Ini kerana kata pemiliknya, Syailah Kamaruzaman, 29, Gisomo menetapkan visi menjadi ruang komuniti dan inspirasi buat pelanggan yang datang untuk menikmati kopi berkualiti, berkarya atau sekadar berehat.

Kafe itu bermula pada Ogos 2024 dengan nama awal The Bru melalui operasi kecil menggunakan cart kopi di acara komuniti dan tepi jalan.

“Gisomo dibangunkan daripada minat mendalam saya terhadap kopi serta aspirasi membina identiti sendiri dalam industri makan dan minuman.

“Sambutan positif sejak awal mendorong jenama itu berkembang ke lokasi tetap di Tamarind Square. Kafe ini menawarkan pengalaman moden yang menggabungkan kopi berkualiti, menu kreatif Melayu dan Barat serta suasana santai yang sesuai untuk komuniti Cyberjaya,” katanya pada majlis pelancaran Gisomo, semalam.

Antara tarikan utama di Gisomo adalah minuman kopi daripada campuran biji Brazil dan Sumatera yang dipanggang.

Pada majlis sama, Gisomo turut menerima Sijil Cap Dagangan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang menandakan pengiktirafan rasmi terhadap jenama tersebut dan melindungi identitinya sebagai sebuah entiti perniagaan.

Syailah yang juga anak kepada komposer terkenal Lan Laga berkata, antara tarikan utama di Gisomo adalah minuman kopi daripada campuran biji kopi Brazil dan Sumatera yang dipanggang agar rasanya seimbang bagi memenuhi selera anak muda.

Minuman itu hadir menerusi menu Spanish Latte dan Karamel Latte di mana aromanya sahaja sudah cukup menghadirkan bau yang mengiurkan.

Tambahnya lagi, pembukaan Gisomo juga merupakan satu penghargaan kepada arwah neneknya yang pakar dalam pembuatan pastri.

“Justeru, legasi serta resipi turun-temurun arwah menjadi antara inspirasi penting dalam pembentukan konsep dan menu Gisomo.

Gisomo dibangunkan daripada minat mendalam Syailah terhadap kopi.

“Antara hidangan unik itu dalah menu Melayu seperti Tart Lompat Tikam yang diinspirasi dari Terengganu, keropok lekor istimewa dan nasi alam.

“Tidak dilupakan, pilihan menu barat dan moden seperti pasta khas Gisomo, Healthy Smoothies dan Granola Bowl,” katanya.

Syailah memberitahu, nama Gisomo dipilih hasil gabungan dua negeri menerusi  ungkapan “Gi Sokmo” yang sering digunakan oleh masyarakat Pantai Timur yang bermaksud “datang selalu.”

Ini kerana jelasnya, ibu bapa berasal dari Kelantan dan Terengganu di mana Gisomo lahir dengan nama yang unik untuk disebut.

Sementara itu, Gisomo akan beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam di Tamarind Square bermula dibuka secara rasmi minggu pertama Disember ini. – MalaysiaGazette

Gisomo turut menerima Sijil Cap Dagangan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast