PUTRAJAYA – Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak di luar undang-undang apabila memanggil peguam kepada pemberi maklumat, Albert Tei, untuk disoal siasat berhubung siasatan skandal melibatkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Menurut pengarah LFL, Zaid Malek, peguam Mahajoth Singh menerima notis pada kira-kira jam 9.50 malam semalam yang mengarahkannya hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi memberi keterangan dalam siasatan yang melibatkan kliennya sendiri.
“Ini tindakan luar biasa dan tidak sah, serta menimbulkan persoalan mengenai ketertiban siasatan dan penghormatan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
LFL juga menyatakan bahawa Mahajoth sebelum ini dinafikan akses untuk bertemu Albert Tei yang sedang ditahan, dan arahan terhadap peguam itu keesokan harinya menunjukkan unsur tekanan dan intimidasi terhadap peguam yang sedang menjalankan tugasnya.
Zaid berkata, langkah tersebut menjejaskan kebebasan peguam untuk mewakili anak guam tanpa gangguan.
“Tindakan memanggil peguam untuk disiasat dalam kes melibatkan kliennya sendiri adalah satu bentuk tekanan dan campur tangan yang menjejaskan kebebasan peguam menjalankan tugas.
“Ini juga turut melanggar perlindungan komunikasi antara peguam dan anak guam seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 dan Seksyen 46 Akta SPRM 2009,” dakwanya.
Tegasnya, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk memaksa peguam mendedahkan komunikasi sulit tersebut, dan sebarang percubaan untuk berbuat demikian merupakan pelanggaran terhadap integriti proses keadilan.
LFL menyeru SPRM supaya menghentikan tindakan yang boleh menjejaskan kebebasan profesion undang-undang dan proses penyiasatan. -MalaysiaGazette















