KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghormati keputusan Pilihan Raya Dewan Negeri Sabah ke-17 dan menerima keputusan rakyat dengan penuh rendah diri.
Dalam satu kenyataan bersama Pengarah Pilihan Raya, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu menjadi isyarat jelas mengenai sentimen rakyat terhadap tadbir urus, ketelusan serta kepimpinan politik di peringkat negeri.
“Suara rakyat adalah isyarat yang kami terima dengan hati terbuka sebagai peringatan dan pengajaran kepada mereka yang ikhlas berjuang.
“Meskipun PKR tidak mencatatkan kemenangan besar, peningkatan kepada 12 kerusi ditandingi menunjukkan keyakinan terhadap parti itu semakin bertapak di Sabah.
“Ia mungkin bukan kemenangan pada angka, tetapi ia adalah kemenangan pada tekad dan kesungguhan,” kata Nurul Izzah.
Nurul Izzah yang Timbalan Presiden PKR turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dan penyokong PKR yang disifatkan telah berkorban masa, sumber dan tenaga sepanjang kempen.
“Saya sendiri menyaksikan keikhlasan itu, termasuk pakcik yang masuk hutan mengutip buluh untuk menegakkan bendera sehingga tercedera.
“Keputusan PRN Sabah juga mencerminkan mesej rakyat ketidaksepakatan dalam kalangan pemimpin melemahkan kekuatan politik dan menjejaskan keyakinan terhadap keupayaan menawarkan kepimpinan yang stabil.
“Saya sebagai Timbalan Presiden mengambil tanggungjawab sepenuhnya secara kolektif sebagai sebuah pasukan atas keputusan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Saifuddin menegaskan, perjuangan parti tidak berhenti pada kekalahan, sebaliknya terletak pada kesediaan memperbaiki kelemahan dan bangkit lebih kuat.
“Perjalanan panjang sebuah perjuangan bukan terletak pada kemenangan semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya dan bangkit semula dengan lebih baik,” katanya.
Kedua-duanya turut mengucapkan tahniah kepada calon PKR yang memenangi satu kerusi yang diamanahkan kepada parti itu.
Nurul Izzah dan Saifuddin menegaskan bahawa PKR akan terus bekerja dan berjuang ‘selagi ada rakyat yang belum terbela dan selagi ada keadilan yang belum ditegakkan.’ -MalaysiaGazette















