Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar

KUALA LUMPUR – Mahkamah Koroner menangguhkan sehingga 18 Disember ini bagi pendengaran permohonan komital (penghinaan mahkamah) terhadap Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan aktivis Mona Din, berhubung kenyataan berkaitan kes Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar memberitahu MalaysiaGazette, Mohd. Shafie memohon penangguhan atas alasan beliau belum menjawab afidavit berkaitan prosiding itu manakala Mona Din atas isu logistik.

Mona Din. Foto AIZAT ZAINAL, 22 OGOS 2025

Permohonan komital itu sepatutnya didengar di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah, esok.

“Peguam-peguam memohon penangguhan mahkamah menerusi emel atas alasan-alasan tersebut.

“Kita (pendakwaan) memang boleh teruskan permohonan esok tapi kena tengok keadaan juga. Kena adil pada semua pihak,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memperoleh kebenaran mahkamah pada 23 Oktober lalu bagi memulakan prosiding terhadap kedua-duanya.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan ex parte (sebelah pihak) pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding itu terhadap Mohd. Shafie dan Mona atau nama sebenarnya Che Muna Din berkaitan kenyataan yang dibuat mereka berhubung inkues kematian pelajar tingkatan satu itu.

AGC dalam kenyataan pada 4 November lalu memaklumkan, kertas-kertas kausa permohonan komital bagi penghinaan mahkamah telah diserahkan kepada Mona Din pada awal pagi 1 November lalu di kediamannya di Shah Alam dan Mohd. Shafie pada petang 3 November 2025 di Tawau.

“Kedua-dua responden dikehendaki menjawab pernyataan menurut Aturan 52 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 beserta afidavit sokongan dalam tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal

Mohd Shafie dalam satu ucapan di Sandakan sebelum ini menyatakan kematian remaja berusia 13 tahun itu sebagai satu pembunuhan selain mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.

Sementara itu, Mona Din didakwa memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap mahkamah di laman Facebook miliknya pada 4 September lalu berkaitan prosiding inkues kematian Zara Qairina.

Dalam hantaran tersebut, Mona mempertikaikan keterangan saksi iaitu Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama inkues. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast