[Gambar fail] Tangkap layar video serbuan pasukan Polis KL di sebuah spa yang menjadi lokasi aktiviti seks songsang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas terhadap perlakuan songsang yang dilakukan secara terbuka adalah suatu keperluan demi memelihara maruah masyarakat, ketenteraman awam dan masa depan negara, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Pertubuhan itu menegaskan, ia memandang serius laporan serbuan pihak berkuasa terhadap sebuah premis “kesihatan” di Chow Kit yang dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang sehingga 208 individu ditahan, termasuk 17 penjawat awam.

Menurut  Timbalan Presidennya, Mohamad Saifuddin Abdul Latif, perkembangan itu memperlihatkan bahawa budaya maksiat dalam negara semakin berani, terancang dan dilakukan tanpa segan silu walaupun ia jelas bertentangan dengan agama, fitrah dan nilai masyarakat.

Lebih membimbangkan ialah penglibatan guru, petugas kesihatan dan penjawat awam yang merupakan golongan yang memegang amanah pendidikan, keselamatan serta kebajikan rakyat.

“Apabila mereka turut terjebak dalam kegiatan sedemikian, ia menzahirkan keruntuhan integriti yang serius serta menggugat keyakinan masyarakat terhadap institusi-institusi penting yang sepatutnya menjadi rujukan moral negara.

“ABIM menegaskan bahawa isu ini bukan soal stigma atau diskriminasi, tetapi soal kesucian nilai masyarakat, keselamatan moral dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/11/30/sauna-gay-tiada-siapa-mengaku-jadi-mangsa-reman-kesemua-171-warga-malaysia-ditolak-kp-kl-2/

Dalam pada itu, ABIM turut kesal apabila terdapat pihak yang memperlekehkan isu ini, menggunakan emoji, gurauan dan jenaka seolah-olah keruntuhan moral masyarakat suatu perkara yang boleh ditertawakan.

Hilangnya rasa jijik terhadap kemungkaran adalah petanda hati yang semakin gelap dan jauh daripada nilai fitrah, sebagaimana diingatkan oleh para ulama bahawa antara tanda kehancuran umat ialah apabila dosa dianggap biasa dan maksiat dijadikan hiburan.

Sikap sebegini katanya, amat berbahaya kerana ia membuka ruang normalisasi, meruntuhkan sensitiviti moral dan akhirnya menjerumuskan masyarakat ke dalam gelombang kerosakan sosial yang lebih besar.

Tegas beliau, setiap individu memikul tanggungjawab untuk memelihara diri, keluarga dan komuniti dengan menegur secara berhikmah, membimbing mereka yang tersasar kembali kepada nilai fitrah serta memperkukuh pendidikan akhlak dan kawalan sosial dalam kehidupan seharian.

Institusi keluarga, sekolah, masjid, masyarakat sivil dan kerajaan perlu bergabung tenaga melaksanakan intervensi pencegahan yang menyeluruh dan strategik bagi menangani gejala ini secara tuntas.

Ia termasuk dari segi penguatkuasaan undang-undang, pendidikan moral serta advokasi kesihatan awam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast