Ahmad Zahid Hamidi

BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) telah menyerahkan senarai calon untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Baharu Negeri Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara itu dan berkata, kerajaan negeri telah meminta parti-parti pendukung mengemukakan calon masing-masing untuk pertimbangan pelantikan.

“Bagi PRN Sabah, pembentukan kerajaan akan dilakukan secepat mungkin. Kita menghargai kerjasama pelbagai parti selain GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang berjalan dengan baik.

“Malah, saya sendiri telah menghubungi Ketua Menteri baharu Datuk Seri Hajiji Noor, serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menstabilkan politik di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat ringkas mengenai bencana banjir di Bagan Datuk, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dua hari lepas.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan keutamaan kini adalah memastikan kestabilan politik Sabah supaya pembangunan negeri dapat diteruskan, termasuk rancangan berkaitan bekalan elektrik, air dan infrastruktur jalan raya.

“Yang penting, kesejahteraan rakyat serta aspirasi Sabah Maju Jaya dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Selepas PRN Sabah ke-17, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa BN bersedia bekerjasama dengan parti-parti sehaluan untuk membentuk kerajaan baharu, demi memastikan kestabilan politik negeri. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast