KUALA LUMPUR – Kekalaan teruk DAP pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah kelmarin, bukan sekadar satu wake up call, tetapi merupakan mesej bahawa pengaruh parti itu dalam politik serantau telah berakhir secara mendadak.
Malah, bekas pemimpin DAP, P. Ramasamy berkata, gegaran politik di Sabah yang menyingkirkan DAP itu hanya menunggu masa untuk dibawa ke Semenanjung.
Menurut beliau yang juga Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), jika pengundi Cina di Sabah boleh menarik diri daripada menyokong DAP, maka hanya menunggu masa sebelum masyarakat Cina di tempat lain turut meninggalkan parti itu.
“Orang Cina di negara ini akhirnya akan menyedari realiti politik Malaysia dan menjauhkan diri daripada DAP,” menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, menurut Ramasamy, kekalahan sepenuhnya DAP dan kemenangan hanya satu kerusi bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan formula politik Pakatan Harapan (PH) telah runtuh di Sabah.
Menurutnya, meskipun wujud pergeseran antara parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan, namun hakikat mereka adalah parti tempatan Sabah membezakannya daripada parti-parti politik Semenanjung.
“Penolakan terhadap PH adalah penolakan terhadap hegemoni yang diamalkan parti-parti Semenanjung dalam politik Sabah.
“Memandangkan kesedaran politik yang semakin meningkat di Sabah, hanya menunggu masa sebelum UMNO juga dihalau keluar,” katanya .
Sementara itu, Ramasamy berkata, penolakan terhadap PH bukan sesuatu yang hanya berlaku di Sabah, dan menjelang pilihan raya umum atau negeri di Semenanjung tidak lama lagi, perjalanan politik gabungan pemerintah yang diterajui PH tidak akan menjadi mudah.
Apatah lagi, ujarnya, terdapat pelbagai isu yang membelenggu kerajaan seperti skandal perlombongan, isu rasuah, dakwaan berat sebelah dalam tidakan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kontroversi pemain bola sepak warisan dan banyak lagi.
Dalam masa sama, kata beliau, pembangkang khusunya Perikatan Nasional (PN) bersedia mengambil kesempatan daripada kekosongan politik yang wujud akibat kegagalan prestasi kerajaan PH itu. – MalaysiaGazette
















