KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR) mengemukakan pelbagai syor kepada Perdana Menteri bagi memperkukuhkan keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara menyeluruh dan holistik.
Ini termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR) yang selaras dengan usaha negara membanteras rasuah dan memantapkan integriti pentadbiran awam.
“JKmR menzahirkan harapan agar setiap cadangan yang dikemukakan dalam laporan ini diberi pertimbangan sewajarnya dan diterjemahkan kepada tindakan yang berimpak serta menyeluruh demi kepentingan negara,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, JKmR hari ini membentangkan dan menyerahkan Laporan Tahunan JKmR Tahun 2024 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia selaras dengan tanggungjawabnya mengikut Seksyen 14, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], iaitu menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia.
Katanya, pembentangan tersebut merangkumi penelitian JKmR terhadap Laporan Tahunan SPRM yang meliputi aspek penguatkuasaan, pencegahan, dan pengurusan serta dapatan pemeriksaan daripada ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bagi tahun 2024.
Tambah kenyataan itu lagi, ahli-ahli JKmR yang juga wakil rakyat yang mewakili suara masyarakat, sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada orang awam dalam meningkatkan keberkesanan SPRM melaksanakan mandatnya.
Katanya, orang ramai boleh berbuat sedemikian dengan mengemukakan pandangan atau cadangan melalui e-mel di alamat berikut: [email protected]. -MalaysiaGazette
















