Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo.

SEPANG – Penulis blog, Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu, Mei lalu.

Komunikasi melalui hantaran di akaun Facebook itu didakwa mengaitkan 11 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan akan menarik sokongan daripada Perdana Menteri.

Bekas EXCO Pemuda UMNO itu didakwa membuat hantaran menggunakan nama `Muhammad Azri’ dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang, pada pukul 7.32 malam 28 Mei lalu.

Tertuduh atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, Wan Muhammad Azri boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 233(2) Akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Hakim Ahmad Fuad Othman menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan untuk serahan dokumen pada 7 Januari depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hadni Khairuddin memohon supaya Wan Muhammad Azri dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon jaminan rendah kerana anak guamnya memberi kerjasama ketika siasatan dijalankan dan mengambil kira dia mempunyai enam anak, dengan seorang daripadanya menghidap autisme. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast