Peguam yang mewakili Albert Tei, Mahajoth Singh bercakap kepada wartawan ketika menunggu permohonan reman terhadap seorang ahli perniagaan Albert Tei dan Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 NOVEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang pengamal undang-undang menjelaskan, tiada peguam boleh diminta mendedahkan atau mengemukakan maklumat penting berhubung siasatan melainkan melalui perintah Mahkamah Tinggi.

Peguam Vivek Sukumaran berkata, Seksyen 30 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi kuasa kepada agensi itu untuk memaksa penyerahan dokumen semasa siasatan.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Majlis Peguam berkata, namun kuasa itu dihadkan oleh Seksyen 46 akta tersebut yang menghalang peguam mendedahkan maklumat ketika siasatan.

Sehubungan itu, peguam tersebut berpendirian, kenyataan media SPRM semalam yang menolak dakwaan Lawyers for Liberty (LFL), telah mengabaikan perlindungan kritikal yang terbina dalam akta tersebut.

Kenyataan peguam Vivek Sukumaran menerusi platfrom media sosial kandungan profesional, Linkedln. 1 DISEMBER 2025.

Agensi itu dalam kenyataannya berpendirian, tindakan memanggil peguam dalam siasatan terhadap ahli perniagaan Albert Tei adalah wajar bagi membolehkan dokumen diserahkan untuk membantu siasatan.

SPRM menyatakan, peguam Mahajoth Singh mempunyai kewajipan untuk menyerahkan bahan bukti seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 30(3) akta itu.

Ahli perniagaan, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing diiring pegawai SPRM untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 NOVEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

Bagaimanapun, Vivek menjelaskan, peruntukan Seksyen 46 mengatasi Seksyen 30 kerana ia merupakan perlindungan yang diberikan oleh Parlimen untuk menjaga kerahsiaan nasihat undang-undang dan kebebasan dalam proses pembelaan.

“Notis di bawah Seksyen 30 tidak boleh, dengan sendirinya, memaksa komunikasi berkaitan maklumat penting dikeluarkan,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Vivek selanjutnya menyatakan, undang-undang jelas menyatakan bahawa SPRM tidak boleh secara unilateral ‘memutuskan’ sama ada keistimewaan terpakai.

Jelas beliau, penentuan keistimewaan itu merupakan tugas kehakiman, bukan penyiasatan dan kedudukan itu telah diperakui secara konsisten dalam penghakiman mahkamah.

Menurutnya, ia dinyatakan dalam kes KPPH melawan Badan Peguam Malaysia bahawa keistimewaan adalah milik anak guam dan tidak boleh digantikan oleh kuasa penyiasatan.

“Menahan dokumen bukanlah satu ‘halangan’ sebaliknya merupakan keperluan yang sah sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan sebaliknya.

“Itulah yang dimandatkan oleh Seksyen 46 yang mana tiada  penyiasat, peguam atau suspek yang melebihi undang-undang. Seksyen itu wujud dan harus diguna pakai.

“Sama juga yang mana tiada agensi penguatkuasaan yang terkecuali daripada had yang ditetapkan oleh Parlimen,” ujar beliau.

Vivek seterusnya menjelaskan, ‘halangan’ itu bukan untuk melindungi salah laku sebaliknya untuk memastikan penyiasatan diteruskan tanpa melangkaui sempadan akta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast