Mohd Yusof Ibrahim diiringi anggota SPRM di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini

KUANTAN – Seorang Pengurus Syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini selepas didakwa memperdaya seorang individu sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM30,000.

Mohd Yusof Ibrahim, 58 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sazlina Safie di Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Mohd Yusof didakwa menipu pemilik syarikat Al-Khautsar Trading dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa Pengarah Pembangunan Projek Konsortium Media AD Berhad meminta duit komisen berjumlah RM30,000.

Ia bagi mendapatkan projek memasang dan menyelenggara papan iklan bersaiz 2200mm X 2400mm di kawasan awam, kawasan perumahan dan di kawasan sekolah, sedangkan Pengarah Pembangunan Projek Konsortium Media AD Berhad itu tidak pernah meminta sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Mohd Yusof dalam tempoh bulan Jun sehingga Julai 2025 di sekitar daerah Kuantan.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee yang mengendalikan kes itu memohon mahkamah mengenakan hukuman paling berat agar ia menjadi pengajaran kepada masyarakat dan tertuduh sendiri supaya tidak mengulangi kesalahan pada masa hadapan.

Mohd Yusof yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman denda diringankan berikutan dia yang sudah tidak bekerja masih perlu menanggung isteri yang juga tidak bekerja selain dua anak yang masih tinggal bersama mereka.

“Saya menyesal dengan tindakan saya yang mengakibatkan saya menyusahkan keluarga saya dan saya tidak akan buat lagi,” katanya dalam rayuan di kamar bicara.

Hakim Sazlina kemudian mengenakan denda RM60,000 dan penjara selama enam bulan sekiranya dia gagal membayar jumlah tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast