Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen kerajaan mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu merupakan satu kesilapan serius yang berpotensi menjejaskan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, sebagai seorang peguam, beliau memahami implikasi perjanjian antarabangsa dan berpendirian tegas untuk memastikan kepentingan Malaysia tidak dikompromi.

“Apa yang telah ditandatangani itu adalah satu kesilapan Kerajaan Malaysia dan saya berdiri di sini bukan saja sebagai Ahli Parlimen tetapi sebagai seorang peguam yang dilatih.

“Soal perjanjian ini merupakan asam garam kehidupan kami dalam praktis guaman jadi saya berdiri di sini untuk selamatkan negara kita ini daripada kehilangan kedaulatan dan kemerdekaannya,” katanya ketika berbahas dpada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Chong Zhemin (PH-Kampar) turut membangkitkan kebimbangan smengenai ketergesaan kerajaan memeterai Perjanjian ART dengan AS yang didakwa berpotensi menjejaskan kedaulatan dan kepentingan strategik negara.

Zhemin berkata, walaupun dakwaan pembangkang bahawa perjanjian ART menggadai kedaulatan negara adalah melampau dan tidak berasas, isu sebenar terletak pada cara dan tempoh perjanjian itu dimuktamadkan.

Hassan menekankan kepentingan Perkara 7.2 mengenai ‘Entry into Force’ dalam perjanjian ART yang menetapkan perjanjian itu hanya berkuatkuasa selepas ‘Exchange Return Notification’ (pertukaran notifikasi rasmi) antara Malaysia dan AS.

“Saya ingin bertanya kepada Timbalan Menteri, sudahkah ‘Exchange Return Notification’ telah dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Amerika? Kalau belum, Malaysia boleh diselamatkan lagi,” katanya.

Beliau mendesak kerajaan agar tidak memproses pertukaran notifikasi rasmi sekiranya belum dilakukan, bagi memberi peluang kepada negara membatalkan perjanjian itu di bawah Perkara 7.5 pembatalan perjanjian.

“Kalau belum ada pertukaran ‘Return Notification’ ini, saya minta Kerajaan jangan lakukan ini… jangan buat perkara di bawah Artikel 7.2 ini,” ujarnya.

Perkara 7.5 dalam perjanjian berkenaan memberi kuasa kepada mana-mana pihak untuk membatalkan perjanjian sebelum ia berkuatkuasa atau selepas tempoh tertentu, selagi prosedur yang ditetapkan dipatuhi.

Dalam pada itu, Hassan turut mengingatkan bahawa perjanjian ART dilihat banyak pihak sebagai berat sebelah dan Malaysia bukan negara boneka yang boleh tunduk kepada tekanan luar.

Perjanjian ini katanya telah banyak kali disebut sama ada di Parlimen mahupun di luar Parlimen.

“Kita bukan boneka Amerika, kita negara yang merdeka. Kita tidak akan benarkan negara kita ini digadai kepada sesiapa pun,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast