Shazeli Kahar

KUALA LUMPUR –  Polis menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui darat dan laut dengan tangkapan lebih 100 orang termasuk tekong di sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor, awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan dibuat menerusi tiga serbuan bermula jam 2 pagi melibatkan Bahagian D3, ATIPSOM Bukit Aman bersama pelbagai agensi berkaitan.

Katanya, dalam operasi pertama sekitar jam 2.40 pagi, pasukan telah melakukan serbuan di sebuah kediaman di Jalan JPT, Sekinchan.

“Tiga lelaki warga asing telah ditahan berusia 26 hingga 32 tahun serta seorang wanita warga asing berumur 24 tahun disyaki bertindak sebagai penjaga premis.

“Turut ditahan 14 lelaki dan 22 wanita warga asing berusia di antara 21 hingga 56 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan merampas enam telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shazeli, operasi kedua sekitar jam 2.15 pagi di kawasan Jeti, Sekinchan membawa penahanan seorang lelaki warga asing berusia 19 tahun bertindak sebagai pemandu van serta tekong darat.

“Hasil pemeriksaan ke atas van itu, terdapat lima lelaki warga asing berusia 19 hingga 41 tahun dan kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Polis turut merampas empat telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM157 dalam serbuan itu,” jelasnya.

Sementara itu operasi ketiga, beliau berkata ia dijalankan sekitar jam 2.15 pagi di perairan Sabak Bernam melibatkan rondaan bersama Polis Marin dan Task Force MAPO.

“Dalam operasi itu, anggota telah memintas sebuah bot kayu jenis Pom-Pom tanpa nombor pendaftaran dan pemeriksaan  terdapat tiga lelaki warga asing.

“Seorang lelaki berusia 43 tahun bertindak sebagai tekong bot manakala dua lelaki warga asing berumur 35 hingga 46 tahun sebagai pembantu tekong.

“Turut ditahan 48 lelaki dan lapan wanita warga asing yang kesemuanya berusia 16 hingga 56 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan merampas tiga telefon bimbit,” ujarnya.

Susulan itu katanya, kesemua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“PDRM komited untuk membanteras aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ini.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.