KUANTAN – Kejadian tanah runtuh di laluan utama masuk ke kawasan Perumahan Puncak Arabella, Tanah Rata, Cameron Highlands pada Jumaat lepas berpunca daripada hujan lebat berterusan yang melanda kawasan itu sejak petang.
Jawatankuasa Pegurusan Bencana Daerah Cameron Highlands (JPBD) memaklumkan, sebanyak 24 unit rumah melibatkan 91 orang mangsa dari Blok C Perumahan Puncak Arabella telah diarah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Puncak Arabella yang telah dibuka.
“Setakat ini, sebanyak lapan Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan seramai 40 orang penduduk terjejas berada di PPS manakala 16 KIR melibatkan seramai 51 orang berpindah ke rumah saudara mara yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah menjalankan penilaian segera terhadap kestabilan cerun di kawasan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.
Penilaian itu penting untuk menentukan sama ada sebarang langkah pencegahan sementara (temporary precaution slope) diperlukan sebelum kerja-kerja pembersihan berskala besar dimulakan.
“Proses perpindahan penduduk juga akan dilaksanakan secara berperingkat dari semasa ke semasa melibatkan penduduk di Blok B yang bersebelahan Blok C sekiranya keputusan penilaian cerun telah diperolehi dan perpindahan perlu dilakukan bagi keselamatan penduduk sebagai langkah awal,” katanya.
Sementara itu, JPBD memberitahu bahawa laluan masuk ke Perumahan Puncak Arabella telah dibuka semula kepada semua jenis kenderaan pada awal pagi Sabtu setelah kerja-kerja pembersihan selesai.
Jelasnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah menempatkan anggota bertugas bagi memantau kawasan tersebut dan meletakkan papan tanda amaran di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Tanah runtuh: Hampir 700 penduduk Apartmen Puncak Arabella terputus hubungan
















