Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Penutup Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025 di Hotel Premiera Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Terdapat penemuan baharu dalam laporan bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas jasad pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

“Saya telah diberi taklimat oleh Pengarah JSJ dan PDRM akan melengkapkan kertas siasatan (IP) dalam masa terdekat bersama dengan syor kepada AGC tentang hala tuju siasatan.

“Ini kerana ada perbezaan dengan hasil siasatan awal (sebelum) dengan laporan perubatan awal yang menjadi asas kepada punca kematian dengan penemuan baharu siasatan oleh polis.

“Jadi biar pihak polis selesaikan dengan menyerahkan kertas siasatan kepada AGC,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025, di sini, hari ini.

Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, arahan itu diterima selepas polis memberi taklimat hasil siasatan kes berkenaan kepada AGC.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian tersebut sebelum kertas siasatan dirujuk semula ke AGC untuk arahan selari dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peguam, Naran Singh bercakap pada sidang media Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin selepas proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpa nan (PALAPES) bertujuan membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian ketika di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 OGOS 2025

Pada 28 November lalu, bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul Haris mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan pada leher.

Perkara itu didedahkan peguam, Datuk Naran Singh, selepas mendapatkan laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau dilaporkan berkata, terdapat beberapa kecederaan lain seperti melecet yang turut ditemukan pada jasad Allahyarham dalam proses bedah siasat pada 30 Ogos lalu.

“Pemeriksaan bersama gambar dan bahan patologi daripada bedah siasat pertama menunjukkan si mati mengalami kecederaan leher yang teruk ketika dia masih hidup.

“Terdapat kecederaan pada leher berganda dalam gambar bedah siasat pertama, walaupun secara amnya konsisten dengan prosedur trakeostomi tapi lebih banyak daripada jangkaan namun ia tidak menunjukkan berlaku selepas kematian,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast