Sharif Musa Sharif Mabul

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyelar pihak yang mendakwa kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengemis untuk berada dalam Kabinet kerajaan negeri Sabah.

Menurut beliau, UMNO dan BN bukan pengemis sebaliknya adalah king maker yang amat `simpati’ dengan pembentukan kerajaan negeri hari ini.

Tegas beliau, semua blok parti politik di Sabah ketika ini memerlukan UMNO dan BN untuk membentuk kerajaan.

Malah, ujarnya, UMNO dan BN dengan kemenangan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) lalu berada dalam Kabinet Sabah hari ini untuk memastikan kestabilan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kenapa GRS perlukan Barisan Nasional?

“Jangan menghembat BN sehingga rotan hancur. Kami tiada rotan, tapi kami ada akar yang sama sakit apabila digunakan untuk menghembat pihak sebelah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Sharif Musa turut berpandangan Hajiji juga tidak akan bersama BN jika mempunyai jumlah kerusi DUN mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

“BN boleh tentukan Kerajaan hari ini bersama siapa saja sebagai Kingmaker.

Stoplah (berhenti) mengata, siapa perlukan siapa dalam soal ini,” katanya.

Terdahulu, beberapa pihak mempersoal keputusan parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) yang turut menerima sokongan daripada BN bagi pembentukan kerajaan negeri Sabah baharu.

Ia susulan perseteruan politik antara BN dan GRS yang menyaksikan kedua-dua parti itu turut bertanding menentang antara satu sama lain pada PRN-17 Sabah Sabtu lalu yang menyaksikan BN hanya memenangi enam kerusi daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, dalam pembentukan Kabinet kerajaan negeri Sabah semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sukau, Datuk Jafry Ariffin turut dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast