[Gambar fail] Tangkap layar video serbuan pasukan Polis KL di sebuah spa yang menjadi lokasi aktiviti seks songsang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam, Nik Saiful Adli Burhan berpandangan peruntukan Seksyen 377B Kanun Keseksaan wajar dipinda supaya perbuatan liwat, walaupun dilakukan atas dasar suka sama suka turut dijadikan kesalahan jenayah.

Menurut Peguambela dan Peguamcara, Peguam Syarie itu, langkah tersebut penting memandangkan perbuatan liwat adalah isu moral dan masalah sosial yang serius.

Malah, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam Dan Intelek Kelantan berkata, perbuatan liwat juga adalah isu nasional yang melangkaui batas agama tertentu, sekali gus memerlukan penguatkuasaan melalui undang-undang jenayah.

Jelasnya, bagi individu Muslim pula, peranan undang-undang Syariah perlu diperkasakan untuk merangkumi kesalahan seks songsang termasuk sebarang perbuatan yang dilihat menggalakkan budaya homoseksual secara terbuka.

Nik Saiful Adli Burhan

“Umum mengetahui bahawa homoseksual sering dilihat sebagai suatu kecenderungan seksual yang tidak normal.

“Kecenderungan ini bukanlah suatu dosa atau kesalahan selagi mana ia tidak dizahirkan melalui perbuatan dan tingkah laku yang melanggar norma,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam masa sama, Nik Saiful Adli turut mencadangkan supaya peruntukan undang-undang digubal untuk membolehkan kes-kes homoseksual dirujuk untuk rawatan pemulihan.

Menurutnya, ia meliputi terapi, perubatan, dan kaunseling seterusnya menjadikannya sama seperti pendekatan terhadap kes pemulihan penagih dadah.

“Langkah ini perlu atas kepercayaan bahawa individu yang terlibat memerlukan bantuan dan rawatan,” katanya.

Dalam masa sama, ujar beliau, perlu ada peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada polis dan Jabatan Agama untuk memohon perintah mahkamah yang mewajibkan individu terbabit seks songsang menjalani rawatan sewajarnya.

Selain itu, katanya, individu terlibat juga perlu diwajibkan melapor diri secara berkala untuk pemeriksaan dan pemantauan, bagi memastikan kepatuhan kepada rawatan dan mencegah pengembangan ideologi homoseksual.

“Pendekatan ini adalah kritikal bukan sahaja untuk memastikan kepatuhan individu yang terlibat, tetapi juga untuk mengelakkan perkembangan ideologi homoseksual yang dikhuatiri boleh meruntuhkan sistem sosial masyarakat di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, walaupun tidak salah untuk menganggap individu yang terlibat sebagai `orang sakit’ yang memerlukan perubatan, namun penting untuk membezakan antara kecenderungan dengan perbuatan.

“Mengiktiraf kecenderungan sebagai penyakit, tetapi kemudian menghalalkan perbuatan mereka atas dasar reda atas kecenderungan songsang sebagai `anugerah Tuhan’ boleh merosakkan sistem sosial dan membantutkan proses pemulihan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 171 lelaki yang ditahan dalam serbuan pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, yang dikaitkan dengan aktiviti seks songsang, dibebaskan dengan jaminan polis selepas permohonan reman ke atas mereka ditolak.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 377/ 372 Kanun Keseksaan, namun tiada bukti yang boleh membantu pihak polis menjalankan siasatan ke arah itu.

Ia sekali gus mencetuskan pertikaian dalam kalangan orang ramai berkenaan aspek kemampuan undang-undang dan penguatkuasaan dalam membanteras sepenuhnya aktiviti seks songsang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast