Shazeli Kahar

SHAH ALAM – Operasi perobohan kediaman bagi projek Seksyen 3, Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang dekat sini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, keseluruhan operasi berada dalam keadaan terkawal dengan kehadiran anggota yang mencukupi bagi memastikan kelancaran tugas di lapangan.

“Kerjasama masyarakat sangat baik dan saya ucapkan terima kasih. Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pihak polis sentiasa bersedia bagi memastikan keadaan kekal terkawal,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Terdahulu, konflik antara penduduk Kampung Jawa dan pelaksanaan projek Seksyen 3 WCE yang berlarutan hampir enam tahun akhirnya menemui titik noktah apabila kerja-kerja perobohan dijalankan dalam suasana aman.

Tinjauan mendapati, sebanyak 19 buah rumah di kawasan seluas 0.73 hektar mula dirobohkan seawal 8 pagi.

Sebelum ini, jajaran sepanjang 150 meter di lokasi berkenaan menjadi punca utama kelewatan projek WCE yang kini lebih 90 peratus siap, namun tergendala lebih 20 bulan susulan bantahan sebilangan kecil penduduk.

Projek lebuh raya berkenaan yang diumum pada 2012 itu melibatkan anggaran kos RM7.07 bilion. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast