KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili isteri ahli perniagaan, Albert Tei mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan segera rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang tidak diubah berkaitan serbuan di kediaman keluarga tersebut.
Dalam kenyataan bersama, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh berkata, agensi tersebut turut diminta menjelaskan tindakannya mengeluarkan peranti itu yang menyalahi undang-undang, kandungan telefon yang dipadam serta identiti pegawai-pegawai terlibat.
“Dekoder CCTV itu merupakan satu-satunya bukti yang paling penting yang kini disimpan SPRM. Kandungan dekoder itu relevan bagi membuktikan tindakan SPRM semasa ‘serbuan balaclava’.
“Dengan mengambil decoder CCTV itu, SPRM telah merampas satu-satunya bukti yang boleh mengesahkan apa yang berlaku semasa kejadian itu dan membuktikan salah laku mereka. Ini bukan kebetulan, ia sama seperti menutup kebenaran,” ujar kenyataan tersebut yang dikeluarkan hari ini.
Peguam itu mengulas kenyataan media SPRM semalam bahawa agensi itu melalui senarai carian berhubung serbuan rumah Albert, mengaku merampas perakam video digital CCTV itu.
Peguam selanjutnya menyatakan, rakaman CCTV itu juga boleh membuktikan serta merta penafian agensi itu tiada senjata api diacukan kepada Albert dan isterinya.
Ujar mereka, melainkan SPRM mengeluarkan rakaman CCTV yang asal, penafian mereka tidak lebih daripada cubaan melindungi pelanggaran terhadap kewajipan dan akauntabiliti awam.
Agensi itu dalam kenyataannya semalam berkata, pihaknya telah menyerahkan senarai rampasan barangan milik Albert pada hari penahanannya dan ia telah ditandatangani sendiri oleh ahli perniagaan itu.
Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dalam satu kenyataan menyatakan barangan tersebut telah diberikan oleh ahli perniagaan itu kepada pegawai SPRM dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 telah diserahkan kepadanya pada 28 November 2025.
“Antara barangan yang disita terdiri daripada telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang merupakan barang bukti.
“SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tanpa asas bahawa pegawai SPRM telah merampas barang-barang Albert tanpa mengikut prosedur. – MalaysiaGazette
















