Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan barang rampasan pada sidang media berikutan kejayaan Polis Di Raja Malaysia menumpaskan stor penyimpanan dan pembungkusan vape campuran dadah di sekitar Klang dan sindiket atas talian di IPK Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 DISEMBER 2025.

SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan dan pembungkusan vape yang dicampur dadah jenis ketamin di sekitar Klang menerusi satu siri serbuan pada 27 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Abdul Kahar berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 33 hingga 49 tahun ditahan dalam operasi berkenaan kerana dipercayai berperanan sebagai penjual, penjaga stor dan pembungkus bagi sindiket tersebut.

Serbuan itu turut membawa kepada rampasan 2,068 kartrij, 550 pod dan 240 botol cecair vape mengandungi ketamin dengan jumlah keseluruhan kira-kira 61 liter, dipercayai untuk diedarkan ke seluruh negara.

Antara barang rampasan pada sidang media berikutan kejayaan Polis Di Raja Malaysia menumpaskan stor penyimpanan dan pembungkusan vape campuran dadah di sekitar Klang dan sindiket atas talian di IPK Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 DISEMBER 2025.

“Semakan awal mendapati hanya seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala saringan air kencing kesemuanya didapati negatif dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shazeli berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM3.04 juta, selain tindakan sitaan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut dibuat terhadap tiga kenderaan dan lima unit barangan kemas bernilai RM134,800.

Semua suspek kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau menambah, jumlah cecair vape yang dirampas itu mampu dibekalkan kepada 12,200 pengguna sehari berdasarkan penggunaan lima mililiter setiap individu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast