Tengku Zafrul
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz mengucapkan selamat tinggal kepada Dewan Negara selepas menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Senator.

Beliau berkata, hari ini merupakan hari terakhir beliau menghadiri persidangan Dewan Negara selepas semalam mengucapkan selamat tinggal di Dewan Rakyat.

“Selamat Tinggal Dewan Negara! Kalau semalam saya ucapkan selamat tinggal di Dewan Rakyat, hari ini pula adalah hari terakhir saya menghadiri persidangan Dewan Negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook dengan emoji sebak.

Menurut Tengku Zafrul, pengalaman berkhidmat di Parlimen merupakan satu amanah besar yang sangat dihargainya sejak beliau dilantik sebagai Senator.

Beliau menegaskan, meskipun tidak lagi bergelar Senator, komitmennya terhadap usaha memacu agenda ekonomi rakyat dan negara akan tetap diteruskan tanpa sebarang kompromi.

“Walaupun tidak lagi menjadi Senator selepas ini, sokongan dan komitmen saya untuk memastikan agenda ekonomi rakyat dan negara berjalan lancar akan sentiasa utuh! Insya-Allah,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul memberi bayangan beliau akan terus berkhidmat dalam kerajaan selepas ini, susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kemungkinan peranan baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Anwar berkata, tugasan baharu akan diberikan kepada Tengku Zafrul setelah tamat perkhidmatan, hari ini.

Menurut Anwar, portfolio baharu untuk Tengku Zafrul akan diumumkan esok.

Tengku Zafrul mengangkat sumpah sebagai Senator pada 2 Disember 2022.

Mengikut perlembagaan Malaysia, tempoh jawatan seseorang Senator adalah tiga tahun dan boleh dilanjutkan sehingga dua penggal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast