SEOUL – Empat individu ditahan berhubung penggodaman 120,000 kamera keselamatan rumah di Korea Selatan, yang rakamannya digunakan untuk menghasilkan bahan berunsur eksploitasi seksual.
Agensi Polis Kebangsaan berkata, rakaman tersebut berasal daripada kamera yang disambungkan ke Internet dan dipasang di rumah, perniagaan, hospital, sauna serta ruang lain.
Kamera keselamatan terbabit kebiasaannya dipasang untuk memantau kanak-kanak atau haiwan peliharaan.
Katanya, seorang daripada mereka yang ditahan memperoleh kira-kira AS$12,000 (RM49,500) dengan menjual rakaman itu kepada sebuah laman web luar negara yang berkongsi kandungan haram, manakala seorang lagi memperoleh dua kali ganda jumlah tersebut, kata polis dalam satu kenyataan.
Tambah pihak polis, penggodam yang tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain itu, berjaya menceroboh peranti berkenaan dengan mudah kerana ia menggunakan kata laluan lemah seperti aksara berulang atau nombor berturutan, kata polis.
Kamera keselamatan sebegini digunakan di seluruh dunia dan banyak daripadanya mempunyai kelemahan.
Lebih sedekad lamanya, Korea Selatan bergelut dengan isu kamera tersembunyi yang digunakan untuk menghasilkan video berunsur seksual, kebanyakannya melibatkan wanita muda.
Dari 2011 hingga 2022, polis membuat hampir 50,000 tangkapan berkaitan penggunaan kamera untuk mencipta bahan eksplisit.
Beberapa laporan awal mengenai bahan seksual yang diekstrak daripada kamera keselamatan muncul sekitar 2017, kata Hakkyong Kim, Profesor Sains Polis di Universiti Wanita Sungshin, Seoul.
“Ia bukan jenayah baharudan kerosakannya hanya akan menjadi lebih buruk,” katanya.
Suspek dalam kes yang diumumkan pada Isnin itu didakwa melanggar undang-undang berkaitan penggodaman, kata Ketua Unit Siasatan Keganasan Siber Agensi Polis Kebangsaan, Kim Young-woon dalam satu temu bual.
Tiga suspek yang masih ditahan turut berdepan pertuduhan tambahan kerana menghasilkan atau menjual bahan eksploitasi seksual, termasuk yang melibatkan kanak-kanak, katanya.
Suspek keempat dibebaskan selepas ditahan.
Jumlah sebenar mangsa sukar ditentukan, kata Kim, sambil menambah bahawa laman web yang berkongsi video haram itu turut disiasat.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan asal usul kamera yang digodam atau pengeluarnya.
Tahun lalu, Kementerian Sains Korea Selatan, pihak berkuasa komunikasi dan Agensi Polis Kebangsaan berkata banyak video daripada kamera rumah yang digodam telah dikongsi di laman web China.
Kementerian itu berkata produk yang dipesan terus dari luar negara yang mana kebanyakannya dari China, mungkin mempunyai kelemahan keselamatan kerana ia tidak memenuhi peraturan tempatan.
Kementerian Sains berkata pada Selasa bahawa ia sedang meneliti cadangan perubahan peraturan yang akan menghalang kamera rumah daripada berfungsi kecuali pengguna menetapkan nama pengguna dan kata laluan yang kompleks.
“Jika kamera tidak menghendaki pengguna menukar kata laluan, itu satu kecacatan asas pada produk,” kata Sangjin Lee, Profesor Keselamatan Siber di Universiti Korea, Seoul.
Beliau menambah bahawa pengguna sering mengekalkan kata laluan lalai walaupun ia terlalu mudah untuk diteka oleh penggodam. -AGENSI
















