Kamarudin Meranun produk lampin bayi bebas bahan kimia iaitu MILKTM Baby Diapers.

KUALA LUMPUR – Selepas dua dekad mengubah landskap penerbangan Asia menerusi AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun kini menumpukan perhatian kepada misi baharu yang tidak kurang besar maknanya.

Beliau kini memastikan bayi di seluruh dunia menggunakan lampin bayi yang lebih selamat, bersih dan bebas bahan kimia berbahaya.

Menurut Datuk Kamarudin, industri bayi khususnya produk lampin merupakan sektor yang besar tetapi terlalu banyak produk yang menggunakan bahan kimia sehingga beliau bersama beberapa rakannya memutuskan tampil dengan produk lampin bayi bebas bahan kimia iaitu MILKTM Baby Diapers.

“Ramai ibu bapa tidak menyedari betapa banyak bahan kimia digunakan dalam lampin komersial, dan kebanyakannya berkait rapat dengan warna dan corak yang menarik.

“Lagi banyak warna, lagi tinggi risiko bahan Kimia,” katanya.

Atas kesedaran itu, MILKTM memilih pendekatan minimalis dengan hanya dua warna iatu putih dan biru serta tiada sebarang corak.

“Kesederhanaan itu bukan sekadar rekaan tetapi satu komitmen terhadap keselamatan kulit bayi,” katanya pada majlis pelancaran MILKTM yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, selebriti terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Izara Aisyah, Diana Danielle, Nabila Razali dan Tasha Shila turut hadir memeriahkan majlis.

Tambah Kamarudin, nama MILKTM sendiri membawa simbolik kepada ketulenan iaitu sesuatu yang suci, bersih dan semula jadi. Ia juga melambangkan kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

Lampin MILKTM dicipta menggunakan teknologi tinggi dan diuji terhadap 728 potensi bahan kimia.

Produk ini juga bebas klorin, pewangi, tidak menggunakan pewarna karsinogenik selain disahkan dermatologi sebagai selamat untuk kulit sensitif.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, walaupun melalui proses ujikaji yang begitu teliti agar mendapat penghasilan yang bagus, lampin MILKTM tetap ditawarkan pada harga mampu milik.

“Visi utama saya ialah memastikan semua keluarga, bukan hanya golongan tertentu dapat menikmati kualiti premium yang selamat.

“Saya juga mahu mendidik masyarakat bahawa pemilihan lampin bayi amat penting agar tiada masalah kesihatan di kemudian hari,” ujarnya.

Jenama MILKTM yang bermula secara rasminya pada 18 Januari lalu kini berada di pasaran di 10 negara, iaitu Malaysia, Vietnam, Kemboja, Taiwan, Singapura, India, Maldives, Oman, Rusia dan Brunei

Sambutan luar biasa turut membawa kepada tiga anugerah antarabangsa iaitu Baby Innovation Awards (USA) bagi kategori Rash-Free Diaper Product of The Year 2025, Parenthood Parents Choice Awards (Malaysia) bagi Best Rash-Free Diaper 2025 dan Parents World’s Best of the Best Babies & Kids Products 2025 (Singapura) bagi Best in Certified Clean & Safe Baby Diapers dalam tempoh singkat selain menerima maklum balas konsisten daripada pengguna.

MILKTM kini menjangkakan pasaran 10 juta unit lampin tidak lama lagi selari dengan perancangan agresif untuk berkembang ke 20 negara menjelang tahun hadapan.

Sementara itu, daripada sudut strategi perniagaan pula, Kamarudin menekankan bahawa pendekatan beliau masih sama seperti ketika membina AirAsia iaitu beliau tidak mengejar keuntungan jangka pendek tetapi mengejar skala.

“Orang lain kejar keuntungan. Saya kejar skala. Kalau nak bina perniagaan, pastikan ia boleh berkembang. Kami baru kurang setahun. Kenapa saya perlu bercakap tentang keuntungan sedangkan kami masih dalam fasa membina perniagaan?” soalnya.

Pengalaman dalam industri penerbangan turut membentuk cara Kamarudin melihat pasaran lampin.

Seperti AirAsia yang menjadikan perjalanan udara lebih mampu milik, MILKTM mempunyai misi untuk mengubah industri bayi dengan memberikan produk berkualiti premium pada harga mesra pengguna.

“Banyak persamaannya. Dalam penerbangan, kami berjuang untuk menjadikan perjalanan lebih mampu milik. Dalam industri bayi, kami mahu memastikan lampin yang benar-benar selamat boleh diakses semua.

“Beberapa pengedar antarabangsa yang kini membawa jenama MILK bermula sebagai pelanggan biasa dengan mencuba produk pada anak sendiri sebelum memutuskan untuk jadi sebahagian daripada rangkaian MILK,” katanya.

Kamarudin juga menyuarakan kebimbangan tentang kadar kesihatan kanak-kanak masa kini termasuk peningkatan kes kanser dalam usia yang masih muda.

Beliau percaya pendedahan berterusan terhadap bahan kimia harian mungkin salah satu faktor dan tanggungjawab MILKTM adalah mendidik ibu bapa tentang kepentingan produk bebas risiko. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast