KUANTAN – Pasangan suami isteri yang dilaporkan hilang selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam Sungai Rompin di Kampung Ayau, Rompin, ditemukan hari ini.
Jasad pasangan Mohd Zairil Bidin, 40, dan isterinya, Nur Aisyah Shafie, 55, ditemui kira-kira jam 2.50 petang tadi di dalam kereta Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kereta itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 11 pagi tadi di dasar Sungai Rompin, kira-kira 60 meter dari lokasi ia dilaporkan terjunam.
“Kenderaan ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat malaysia (JBPM) ketika melakukan selam skuba antara lapan hingga 10 meter.
“Selepas diangkat dengan kren, jasad pasangan suami isteri itu ditemukan dalam kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Sharif Shai berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.
Pasangan itu dilaporkan hilang selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke Sungai Rompin kira-kira jam 4 petang semalam. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Suami isteri dikhuatiri lemas, kereta terjunam ke dalam sungai
















