KUALA LUMPUR – Kos bagi menyiapkan baki kerja pembinaan Projek Lebuhraya Putrajaya ke KLIA (MEX II) dianggarkan berjumlah RM449 juta berdasarkan kos yang dikemukakan oleh pihak Penerima dan Pengurus (R&M) pada November 2024.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi bagaimanapun berkata, kos itu berkemungkinan telah meningkat berdasarkan kadar harga semasa, kos pembaikan dan kos-kos lain yang berkaitan kerana projek telah terbengkalai untuk tempoh yang lama.
“Berkenaan tempoh penyiapan projek lebuhraya MEX II dan kadar tol masih belum dapat diputuskan memandangkan R&M dalam proses mengemukakan cadangan penuh terkini.
“Ia bagi menyiapkan baki keseluruhan projek termasuklah aliran tunai, kos pembiayaan, analisa kajian trafik, tempoh konsesi, kadar tol dan sebagainya bagi memastikan projek ini kekal berdaya maju,” katanya katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan melalui laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) yang bertanyakan status terkini perbincangan kerajaan dengan pihak R&M bagi isu projek MEX II dan beberapa soalan berbangkit.
Mengulas lanjut, Alexander berlata, syarikat konsesi bagi projek MEX2 telah dikeluarkan notis kemungkiran oleh pihak pemegang sukuk pada Januari 2022.
“Oleh itu, segala obligasi konsesi telah diserahkan kepada pihak penerima dan pengurus yang dilantik oleh pihak pemegang Sukuk untuk menyelesaikan isu kewangan dan seterusnya menyiapkan baki pembinaan projek ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















