NEW DELHI – Ibu negara India ini mencatat lebih daripada 200,000 kes penyakit pernafasan akut di enam hospital kerajaan antara 2022 dan 2024, menurut data kerajaan, sekali gus menonjolkan kesan buruk udara toksik terhadap kesihatan.
Bandar raya yang menempatkan 30 juta penduduk sering disenaraikan sebagai salah satu ibu kota paling tercemar di dunia.
Kementerian Kesihatan India memberitahu Parlimen pada Selasa bahawa pencemaran udara merupakan salah satu faktor pencetus penyakit pernafasan.
“Analisis menunjukkan tahap pencemaran dikaitkan dengan peningkatan jumlah pesakit yang datang ke unit kecemasan,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Prataprao Jadhav, dalam jawapan bertulis.
Lebih daripada 30,000 pesakit dengan penyakit pernafasan terpaksa dimasukkan ke hospital sepanjang tiga tahun tersebut.
Setiap musim sejuk, asap tebal beracun menyelubungi langit New Delhi memerangkap pencemar berhampiran permukaan tanah, menghasilkan campuran berbahaya daripada pembakaran tanaman, kilang dan trafik berat.
Paras PM2.5 — zarah halus penyebab kanser yang cukup kecil untuk memasuki aliran darah — kadangkala meningkat sehingga 60 kali ganda had kesihatan harian yang ditetapkan PBB.
Satu kajian dalam The Lancet Planetary Health tahun lalu menganggarkan 3.8 juta kematian di India antara 2009 dan 2019 berkaitan dengan pencemaran udara.
Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran udara tercemar meningkatkan risiko jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak.
Bagaimanapun, kementerian kesihatan menambah, pencemaran udara bukan satu-satunya punca kemasukan ke hospital.
“Kesan kesihatan akibat pencemaran udara adalah manifestasi sinergistik daripada faktor-faktor termasuk tabiat pemakanan, pekerjaan, status sosioekonomi, sejarah perubatan, imuniti, keturunan dan lain-lain,” katanya. – Agensi
















