Dr. Sharmila memberi penerangan Ab Rauf mengenai proses pembelajaran dan modul latihan teknologi semasa Majlis Perasmian RDC di Micost, Wisma Yayasan Melaka, hari ini.

MELAKA – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pemasaran serta pembelajaran tidak boleh dilaksanakan secara sembrono hanya kerana teknologi itu menjadi trend, sebaliknya perlu dipandu etika dan tatacara jelas.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dr. Sharmila Muhamed Salleh berkata, penggunaan AI tanpa garis panduan yang betul berisiko membawa kepada salah guna teknologi, selain menjejaskan ketepatan maklumat serta proses pembelajaran.

“AI tidak boleh digunakan secara sembarangan hanya kerana ia sedang menjadi trend.

“Pengguna perlu memahami tatacara dan tujuan penggunaannya supaya lebih tersusun dan berfokus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ruang Daya Cipta (RDC) di Melaka International College of Science and Technology (Micost), yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Wisma Yayasan Melaka, hari ini.

Menurut Dr. Sharmila, penggunaan tidak terkawal bukan sahaja menjejaskan keberkesanan teknologi, malah boleh mendatangkan implikasi etika kepada pengguna lain.

“Kita tidak mahu teknologi digunakan tanpa kawalan sehingga memberi kesan kepada pengguna lain, terutama dalam pemasaran digital yang berkembang pesat.

“Penubuhan RDC bertujuan mendidik masyarakat mengenai penggunaan teknologi secara betul merangkumi pemasaran digital, reka bentuk, pencetakan 3D serta automasi,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan latihan yang disediakan adalah praktikal dan mudah difahami bagi memastikan peserta benar-benar menguasai teknologi yang dipelajari.

Setakat ini, 24 pusat RDC telah dibangunkan di seluruh negara dengan Selangor menjadi lokasi terbaharu dalam usaha memperluas akses latihan teknologi kepada masyarakat.

Semua bentuk latihan dan penggunaan fasiliti di RDC adalah percuma sepenuhnya serta terbuka kepada pelajar dan orang awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast