Asmawar Samat

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih tegas berhubung isu seks songsang.

Ia susulan beberapa serbuan polis termasuk membabitkan lebih 200 lelaki di sebuah pusat spa tertutup di ibu negara serta sebuah lagi premis menyerupai lot terbiar di Pulau Pinang.

Naib Presiden Putra, Datuk Asmawar Samat, perkembangan tersebut menunjukkan budaya yang bercanggah dengan syarak serta undang-undang semakin membimbangkan dan kerajaan tidak boleh bersikap terlalu lembut dalam menangani isu berkenaan.

Beliau menegaskan, kelemahan penguatkuasaan serta undang-undang lapuk menyebabkan kegiatan itu sukar dibendung.

“Putra mahu mengemukakan 10 tuntutan utama, antaranyan menggubal Akta Premis Tidak Bermoral Tertutup bagi mengharamkan secara total premis seperti sauna lelaki, bilik gelap dan pusat “wellness” yang didakwa menjadi lokasi aktiviti homoseksual.

“Kerajaan juga perlu meminda Seksyen 377A/377B dengan memasukkan elemen niat bagi membolehkan tindakan undang-undang tanpa menunggu tangkapan ketika perbuatan berlangsung.

“Mewujudkan Fatwa Anti-LGBT yang diseragamkan di peringkat kebangsaan serta memperkenalkan modul pendidikan anti-LGBT di sekolah dan university,” katanya dalam kenyataan.

Turut perlu dilaksanakan, kata Asmawar, mengawal selia kandungan digital bagi mengelakkan apa yang disifatkan sebagai “normalisasi perlahan” termasuk perlu menubuhkan Unit Penguatkuasaan Moral Kebangsaan (UPMK) dalam tempoh enam bulan.

Larangan terhadap individu yang pernah disabitkan kesalahan liwat daripada menjadi calon pilihan raya atau memegang jawatan kepimpinan juga perlu dilakukan.

Asmawar menegaskan, langkah segera diperlukan bagi melindungi moral, keluarga dan keturunan dan apa yang berlaku dakwanya adalah kerana kelemahan kerajaan bertindak hingga menjadi punca kepada kemerosotan nilai sosial.

“Putra menuntut kerajaan memberi perhatian segera terhadap cadangan tersebut demi menjaga maruah dan keselamatan moral negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast