[Gambar fail] Tangkap layar video serbuan pasukan Polis KL di sebuah spa yang menjadi lokasi aktiviti seks songsang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan menegaskan adalah  penting untuk mendapatkan bukti yang boleh mengaitkan seseorang individu dengan kegiatan tidak bermoral termasuk dalam kes kontroversi serbuan pusat sauna gay di Chow Kit baru-baru ini.

Menurutnya, beban pembuktian kes terletak di bahu pihak pendakwaan dan tanpa bukti kukuh, adalah sukar bagi pihak pendakwaan mendakwa seterusnya memenangkan kes di mahkamah.

Sekiranya pendakwaan diteruskan, hakim tiada pilihan melainkan melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan.

Tambah beliau, untuk menangkap individu tidak terlalu sukar kerana seseorang itu boleh ditahan berdasarkan syak yang munasabah bahawa mereka dipercayai telah melakukan kesalahan jenayah.

Namun tangkapan dan pendakwaan adalah dua perkara yang berbeza.

Peguam Kanan, Muhammad Hasif Hasan.

“Peruntukkan yang ada di bawah Seksyen 377A, 377B dan 377C adalah berkaitan dengan seks luar tabii. Adalah menjadi kesalahan bagi pelaku secara paksa atau sukarela melakukan kesalahan persetubuhan luar tabii ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Merujuk kepada kes di pusat sauna gay di Chow Kit, Hasif berkata, persoalan timbul berhubung apa sebenarnya yang sedang mereka lakukan ketika serbuan oleh pihak berkuasa.

Ujarnya, jika tidak ada seorang pun yang ‘sedang’ melakukan perbuatan seks luar tabii semasa serbuan maka sukar dicari bukti bagi pelaku kesalahan tersebut.

Tambah beliau, jika dikatakan ada percubaan melakukan seks luar tabii pula, masih perlu kepada bukti bagi perbuatan tersebut.

Siasatan penguat kuasa akan menjadi lebih sukar sekiranya selepas ditangkap, tidak ada seorang pun yang mengaku telah melakukan seks luar tabii sama ada secara rela atau dipaksa.

“Jika kita gunakan perundangan Syariah sekalipun keberadaan lelaki sesama lelaki di dalam premis tertutup tidak menjadi kesalahan sebaliknya dakwaan berkhalwat hanya jika terdapat lelaki dan wanita,” katanya.

Tambah Hasif, jika sekali pun ada dakwaan semua lelaki yang ditangkap adalah gay, masih sukar untuk membuktikannya, lebih-lebih lagi jika mereka tidak mengaku.

Malah sekiranya mereka semua adalah gay, masih tidak ada kesalahan berkumpul bersama melainkan terdapat bukti mereka ‘sedang’ melakukan seks luar tabii.

“Jika sekiranya mereka memakai tuala mandi, masih tidak mencukupi untuk menuduh mereka melakukan seks luar tabii atau berpakaian tidak sopan,” katanya.

Menurut Hasif, selama kira-kira 30 tahun menjadi peguam, kes pendakwaan akan mudah dan terurus apabila mangsa memberi kerjasama atau mahu mendapatkan keadilan bagi diri mereka, umpama akan hadir tanpa disuruh.

“Saya percaya jika kaedah perundangan tidak berkesan, maka kaedah holistik atau keagamaan wajar diterapkan kepada individu berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Soalan yg perlu ditanya juga ialah pihak berkuasa terutama Ketua Polis KL faham tak undang2 yg peguam ni explain? Tentang beban pembuktian sebelum buat serbuan ni??

Comments are closed.