Peguam yang mewakili Albert Tei, Mahajoth Singh bercakap kepada wartawan ketika menunggu permohonan reman terhadap seorang ahli perniagaan Albert Tei dan Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 NOVEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan ke atas peguam ahli perniagaan Albert Tei, Mahajoth Singh mengikut Seksyen 48, Akta SPRM 2009 kerana enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu dibuat kerana peguam itu tidak mempunyai simpanan berbentuk sulit ataupun perkara yang perlu dilindungkan dalam siasatan kes rasuah melibatkan anak guamnya.

“Beliau dikategorikan sebagai saksi kerana mempunyai keterangan dan juga eksibit yang difikirkan perlu oleh pegawai penyiasat saya untuk diserahkan kepada kami.

“Tindakan diambil mematuhi undang-undang di mana kami mematuhi SOP dengan menyerahkan notis untuk beliau hadir ke pejabat dan beliau hadir dua hari lepas.

“Beliau hadir tetapi masih enggan untuk bekerjasama memberi keterangan dan menyerahkan eksibit yang diperlukan dan dia membuat kenyataan di luar sana.

“Kertas siasatan ini dibuka hasil daripada pandangan Timbalan Pendakwa Raya agar peguam ini membantu siasatan kami,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azam menafikan SPRM melanggar Seksyen 46 Akta SPRM 2009 dalam menjalankan siasatan ke atas peguam Albert itu.

“Mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009 di mana beliau dikehendaki untuk hadir dan memberi keterangan, ia adalah satu perkara yang dimestikan.

“SPRM dipertikaikan banyak pihak termasuk daripada Majlis Peguam, dakwaan SPRM telah melanggar Seksyen 46 ini adalah tidak berasas,” katanya.

Jelas Azam, tindakan SPRM memanggil peguam bagi tujuan rakaman percakapan dibuat mengikut Seksyen 30 Subseksyen 1 dan juga Seksyen 30 Subseksyen 2 Akta SPRM 2009.

“Iaitu memperuntukkan kuasa yang jelas kepada SPRM untuk memerintahkan mana-mana individu untuk hadir dan mengemukakan dokumen yang diperlukan bagi membantu siasatan.

“Undang-undang tidak memberikan pengecualian kepada peguam atau mana-mana profesion lain,” katanya.

Menurut Azam, Seksyen 46 Akta SPRM berhubung dengan kerahsiaan komunikasi guaman, anak guam atau Solicitor Client Privilege tidak pernah diketepikan.

“SPRM tidak meminta atau menuntut maklumat termasuk dalam nasihat sulit antara peguam dan juga anak guam. Apa yang diminta ialah bahan bukti dan maklumat yang berada dalam pegangan ataupun prosesi sebagai individu yang mempunyai maklumat penting berkaitan dengan siasatan.

“Prinsip undang-undang adalah jelas di mana keistimewaan tidak melindungi seseorang daripada kewajipan hadir apabila disuruh oleh penguat kuasa dan ia juga tidak melindungi dokumen atau barang kes yang bukan sebahagian daripada nasihat guaman,” katanya.

Azam menegaskan, dalam kes itu, SPRM bertindak mengikut prosedur yang sah di sisi undang-undang dan beliau mempertahankan tindakan pihaknya hanya memanggil peguam hadir beri keterangan seperti mana saksi-saksi lain.

“Ini bukan pendakwaan ke atas beliau (peguam) dan tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai peguam bagi mana-mana pihak.

“Oleh itu, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa SPRM telah melanggar peruntukan di bawah Seksyen 46. Sebab itu kita melaksanakan kuasa penyiasatan yang diperuntukan oleh undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast