PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan isteri ahli perniagaan Albert Tei, Lee Pei Rie kononnya pihak berkuasa itu menangkap suaminya tanpa mengemukakan senarai bongkar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika tangkapan dibuat, pegawai SPRM tidak melanggar sebarang prosedur standard operasi (SOP) termasuk mengambil barang milik Tei.
“Ini tidak benar kerana pegawai penyiasat saya telah mematuhi SOP dan juga telah menyerahkan senarai bongkar dan senarai barang yang diambil atau eksibit kepada Albert Tei itu sendiri, ini tidak menjadi isu, saya perlu perbetulkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Isnin lalu, Pei Rie menerusi peguam Rajesh Nagarajan mengeluarkan surat tuntutan kepada SPRM) mendakwa berlakunya pelanggaran SOP ketika serbuan di rumahnya di Puchong minggu lalu.
Rajesh menuntut agar SPRM dalam tempoh tiga hari mengeluarkan senarai lengkap rampasan ditandatangani, memulangkan semua barang tidak mempunyai justifikasi sah untuk terus ditahan dan menjelaskan status undang-undang Pei Rie sama ada sebagai saksi, suspek atau pihak lain yang sedang disiasat.
Selain itu, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung dakwaan Pei Rie kononnya pegawai SPRM mengacukan pistol ke atas kepala Tei semasa tangkapan dilakukan di rumahnya di Puchong.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dan kita telah membuat laporan polis dan saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Kami terbuka dalam hal ini, kita telah menyerahkan segala bukti rakaman dan sebagainya kepada pihak polis.
“Malah pegawai-pegawai saya yang terlibat dalam kes ini telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes polis, tiada apa yang kita nak selindungkan dalam hal ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















