Sidang media Ahli Parlimen Perikatan Nasional di Parlimen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN) mempersoalkan usul yang akan dibuat di Dewan Rakyat untuk menggantungnya selama enam bulan yang disifatkan melanggar undang-undang kerana seseorang dihukum dua kali untuk satu kesalahan yang sama.

Beliau yang juga Ketua Whip Pembangkang berkata, ini kerana terdapat usul awal dikemukakan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) sebelum ini yang pernah merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Jelas Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu, usul yang membawanya ke jawatankuasa tersebut belum lagi selesai di mana beliau sendiri belum dipanggil untuk menghadiri sebarang prosiding.

Justeru beliau mendakwa usul penggantungan enam bulan yang akan dicadangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu bersifat ‘double jeopardy’ kerana mendahului usul awal dibuat Suhaizan.

“Itu prosedur di bawah (Peraturan Mesyuarat) 36(12) merujuk seseorang Ahli (Parlimen) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tetapi tiba-tiba kes itu belum selesai, saya belum dipanggil atau belum dilepaskan, tiba-tiba usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) menggantung Ahli Parlimen selama enam bulan,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution dijangka mencadangkan usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan atas kenyataan yang mengaitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan peristiwa Memali.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin Nasution meminta Dewan memutuskan sama ada Takiyuddin patut digantung atas kenyataan yang dibuat semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar pada 22 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu, beliau sudah mematuhi syarat ditetapkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Kata beliau, antaranya, surat yang terkandung penjelasan mengenai isu berbangkit sudah pun dihantar kepada Johari dalam tempoh ditetapkan.

“Saya bahas pada 22 Oktober lalu, sehari selepas itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat telah menghantar satu surat kepada Speaker untuk merujuk saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berkaitan kenyataan saya sewaktu perbahasan RUU (Perbekalan 2026) itu.

“Bila Speaker menerima surat, usul ini, dia telah menghantar kepada saya satu salinan minta saya masukkan jawapan-jawapan saya, penjelasan saya. Maka saya dalam sebanyak enam muka surat dan lampirannya telah hantar kepada Speaker beberapa hari selepas itu. Saya jawab dalam tempoh ditetapkan.

“Apabila Speaker menerima jawapan saya dia kena meneliti adakan kes yang dibawa oleh Pulai ini berasas atau tidak. Kalau ada asas, hadapkan saya ke jawatankuasa berkenaan yang Speaker sendiri jadi pengerusul sama sebelum ini pun belum selesaisi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast