KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menghubungi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi membincangkan isu ladang di negeri itu.
Beliau dipertanggungjawabkan untuk memastikan isu berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diselesaikan.
“Mengenai perkara itu, kita boleh berbincangkan. FELDA diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan saya diberikan tanggungjawab untuk menyantuni dan mendepani permasalahan yang dihadapi oleh FELDA,” katanya ketika ketika ditemui selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perbincangan Cyberjaya 2025 (Cyberjaya Conversation Summit 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Ahmad Zahid berkata, perbincangan penting demi memastikan kepentingan peneroka yang juga merupakan rakyat Terengganu terbela.
“Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan, yang penting adalah kepentingan peneroka yang juga rakyat Tengganu dan juga rakyat negara kita,” ujarnya.
Ahad lalu, Kerajaan Terengganu dilaporkan memulakan tindakan penguatkuasaan terhadap FGV Holdings Bhd dengan mengeluarkan 127 notis larangan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran melibatkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) itu merupakan langkah awal tindakan perundangan selepas rundingan berhubung isu pembayaran hasil negeri gagal mencapai persetujuan. – MalaysiaGazette
















