Golongan belia yang hadir pada karnival kerjaya.

PUTRAJAYA – Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan untuk diisi pada Karnival LINDUNG Kerjaya@Program Rancakkan MADANI anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang akan berlangsung bermula 5 hingga 7 Disember ini di Pekarangan
Dataran Putrajaya.

Menurut PERKESO, karnival berskala nasional ini menawarkan pelbagai jawatan merentasi industri utama, termasuk bidang berkemahiran tinggi dan teknikal seperti kejuruteraan, geologi, maritim, keselamatan dan kesihatan pekerjaan (HSE) dan lain-lain, dengan tawaran gaji mencecah sehingga RM13,000.

“Bermula jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang, karnival ini menghimpunkan lebih 30 majikan terkemuka negara, antaranya FGV Holdings Berhad, SD Guthrie, Media Prima Berhad, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Top Glove, Amanah Raya, Mandarin Oriental, Ranhill Technologies, West Port, Port of Tanjung Pelepas dan Columbia Asia, sekali gus menjadikannya antara platform padanan pekerjaan terbesar menjelang penutup tahun 2025.

“Antara jawatan yang ditawarkan termasuk Pengurus dengan gaji antara RM10,000 hingga RM12,999; Juruanalisis Sistem dengan gaji maksimum sehingga RM10,000 dan ke atas; Pegawai Perubatan dengan gaji RM10,000 hingga RM12,999; Business Development Manager dengan gaji maksimum RM12,999; serta Senior Manager, Warehouse Department dengan gaji RM8,000 hingga RM9,999,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PERKESO turut memaklumkan bahawa senarai jawatan ditawarkan merangkumi peluang untuk graduan baharu, pencari kerja aktif, serta individu yang mahu meningkatkan kerjaya ke tahap lebih tinggi dalam sektor strategik negara.

“Bagi memastikan pencari kerja membuat persediaan terbaik, PERKESO turut menyediakan khidmat kaunseling kerjaya, semakan resume secara intensif, dan konsultasi bersama Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan yang berpengalaman.

“Orang ramai digalakkan membuat pra-pendaftaran di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair bagi melancarkan proses di tapak karnival.

“Pencari kerja juga diingatkan hadir dengan resume terkini, berpenampilan profesional dan bersedia menghadapi sesi temu duga.

“Karnival ini merupakan peluang terbaik bagi mereka yang serius ingin mendapatkan pekerjaan berkualiti, membina rangkaian profesional dan memperoleh panduan langsung daripada pakar industri satu platform yang tidak wajar dilepaskan,” jelas PERKESO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast