Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights di Tapak No 8, Projek Kampung Sungai Baru, Putra Heights, Subang Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 04 DISEMBER 2025

SUBANG JAYA – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menyiapkan sebanyak 5,450 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) bagi tahun 2025 dengan kos keseluruhan RM504 juta.

Pencapaian itu sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 56 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan program perumahan berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu disifatkan sebagai satu usaha yang membanggakan.

“SPNB akan meneruskan komitmen itu pada tahun 2026, apabila bajet yang telah diluluskan memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan 6,545 unit RMR, demi memastikan lebih ramai keluarga kumpulan B40 berpeluang memiliki rumah yang selesa dan berkualiti,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap pada Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights di Tapak No 8, Projek Kampung Sungai Baru, Putra Heights, Subang Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 04 DISEMBER 2025

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Sentuhan Kejayaan SPNB dan penyerahan kunci kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Sungai Baru, Putra Heights, Puchong hari ini.

Dalam pada itu, SPNB turut memperkenalkan aplikasi baharu dikenali sebagai MyRMR, yang menyokong empat modul utama iaitu Pemohon, Peguamcara, Kontraktor dan Pegawai SPNB.

Aplikasi tersebut dijangka dapat meningkatkan kecekapan pengurusan projek, selain memperkukuh keselamatan data serta memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik.

Mengulas lanjut Kor Ming berkata, kerja-kerja baik pulih, pembinaan baharu serta pembersihan di Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas akibat insiden kebakaran sebelum ini telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

Ujarnya, sehingga akhir November lalu, SPNB telah menyiapkan pembinaan baharu dan kerja-kerja baik pulih melibatkan 15 unit rumah mangsa kebakaran Putra Heights di kampung berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, baki tiga unit lagi kata beliau, kini dalam proses melengkapkan dokumentasi oleh pemilik sebelum kerja pembinaan dapat diteruskan.

Tambahnya, projek pemulihan tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.85 juta yang disalurkan melalui Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara.

Katanya lagi,kerajaan menegaskan komitmen berterusan dalam membantu semua mangsa yang terkesan dengan musibah tersebut.

“Kepada mangsa kebakaran, Kerajaan Madani sentiasa bersama anda. Kami akan terus memantau situasi dan memberikan sokongan yang diperlukan. Semoga rumah baharu yang diterima hari ini dapat memberikan kehidupan yang lebih baik dan sejahtera,” ujarnya. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast