KOLKATA – Air India menerima bil parkir kira-kira 10 juta rupee (kira-kira AS$120,000) selepas syarikat penerbangan itu menemui semula pesawat Boeing, B737-200 miliknya yang ‘hilang’ lebih sedekad lalu di sudut terpencil di Lapangan Terbang Kolkota.

Kewujudan dan keberadaan pesawat yang ditamatkan operasinya pada 2012 itu bagaimanapun seolah-olah dilupai kakitangan syarikat penerbangan tersebut.

Pada awalnya Air India berkeras pesawat tersebut bukan miliknya apabila para pegawai lapangan terbang menghubungi syarikat penerbangan itu meminta pesawat berkenaan dialihkan.

The Times of India melaporkan audit dalaman Air India mengesahkan pesawat terbabit milik syarikat tersebut walaupun ketiadaan pendaftaran aset tetap dan dokumentasi dalaman.

Kekeliruan timbul berpunca daripada kesilapan pentadbiran sebelum ini yang membabitkan penggabungan Indian Airlines dan Air India, selain pesawat tersebut turut digunakan sebagai pesawat kargo oleh India Post.

Lapangan terbang Kolkata terus mengenakan yuran parkir untuk tempoh 13 tahun pesawat terbabit berada di situ.

Setelah mengesahkan pemilikan, Air India mengatur untuk mengalihkan pesawat tersebut dan membayar yuran parkir.

Pesawat Boeing itu dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda di Bengaluru di mana ia akan digunakan sebagai platform latihan bukan penerbangan untuk juruteknik penyelenggaraan penerbangan.

Pesawat berusia 43 tahun itu dihantar pada 1982 beroperadi di bawah Indian Airlines sebelum Alliance Air memajaknya pada 1998 dan ia ditukar kepada pesawat kargo pada 2007.

India Post merupakan pengendali terakhir pesawat tersebut sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada 2012.

Menurut The Times of India, ia juga merupakan satu-satunya pesawat Air India yang ditamatkan operasi antara kumpulan 10 pesawat baru-baru ini yang masih mempunyai enjin Pratt & Whitney yang masih terpasang pada pesawat tersebut pada masa pelupusan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast