Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berbual sesuatu dengan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika sidang media pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Hari terakhir Dewan Rakyat hari ini kembali kecoh selepas beberapa wakil pembangkang membantah usul dibawa menteri bagi menggantung Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama enam bulan.

Insiden itu berlaku sebelum isu dibawa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah susulan dakwaan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu bahawa latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disamakan dengan peristiwa Memali.

Suasana menjadi gamat apabila beberapa Ahli Parlimen PN bangkit termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak bersetuju terhadap tindakan terbabit yang didakwa tidak mengikut peraturan mesyuarat.

Selain Hamzah, dua lagi Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) turut mempersoalkan peraturan mesyuarat mana yang membolehkan tindakan usul dibawa menteri itu.

Ronald turut mempersoalkan sebab Takiyuddin tidak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terlebih dahulu sebelum usul tebabit dibentangkan.

Sementara Zulkifly pula berkata kerajaan tidak boleh menggunakan Peraturan Mesyuarat 27(3) untuk menghukum Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 04 DISEMBER 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya membenarkan usul itu dibentangkan Shamsul Anuar.

Semalam, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mempersoalkan usul yang akan dibuat di Dewan Rakyat untuk menggantungnya selama enam bulan yang disifatkan melanggar undang-undang kerana seseorang dihukum dua kali untuk satu kesalahan yang sama.

Beliau berkata, ini kerana terdapat usul awal dikemukakan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) sebelum ini yang pernah merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Jelas Ahli Parlimen dari Pas itu, usul yang membawanya ke jawatankuasa tersebut belum lagi selesai di mana beliau sendiri belum dipanggil untuk menghadiri sebarang prosiding.

Justeru beliau mendakwa usul penggantungan enam bulan yang akan dicadangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution itu bersifat ‘double jeopardy’ kerana mendahului usul awal dibuat Suhaizan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast