Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 SEPTEMBER 2023
KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat menangguhkan usul untuk menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan peristiwa Memali.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, permohonan untuk menangguhkan usul itu ke sesi akan datang dibuat selepas mendengar hujah daripada Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

“Kita memahami dan selepas dengar hujah semua dan menimbang hujah-hujah diberikan, maka bagi pihak kerajaan saya memohon supaya usul ini ditangguhkan dan dibawa ke sesi akan datang,” katanya semasa menggulung usul untuk menggantung Takiyuddin di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Serentak itu, beberapa wakil pembangkang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, menteri dan timbalan menteri atas pertimbangan itu.

Empat Ahli Parlimen tersebut adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Takiyuddin, Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).

Namun suasana menjadi kecoh apabila wakil pembangkang berselang-seli bangkit mencelah sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkali-kali memberi amaran sebelum isu itu dibentang Shamsul Anuar.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) memohon usul itu dipinda dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Kalau sekiranya menteri boleh meminda usul ini dan merujuk saya kepada jawatankuasa. Saya masih lagi seorang ketua whip dan saya akan arahkan rakan untuk terima jadi tidak perlu buat (undi) belah bahagi.

“Berikan saya prosiding yang adil dan berikan saya hak untuk bersuara serta hak untuk mempertahankan diri sendiri,” katanya ketika membahaskan usul itu.

Johari berkata, usul itu ditangguhkan pengundian dan terpulang kepada pihak kerajaan untuk meneruskannya atau tidak pada sesi akan datang.

Usul itu menyatakan Takiyuddin membandingkan insiden melibatkan APMM di Masjid Rusila, Marang, Terengganu dengan peristiwa Memali 1985 dan mendakwa ia percubaan menakut-nakutkan rakyat.

Ia juga mencadangkan supaya Takiyuddin digantung daripada sidang Dewan Rakyat dan jawatankuasa pilihan selama enam bulan dari tarikh keputusan usul diluluskan.

Takiyuddin mengeluarkan kenyataan itu ketika perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada 22 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast