PETALING JAYA – Rata-rata mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong melahir rasa syukur selepas penantian mereka lebih lapan bulan untuk mendapatkan kediaman baharu akhirnya tercapai.
Meskipun kediaman yang dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu tidak seperti rumah asal mereka, tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak lagi menumpang atau menyewa kediaman lain.
Menurut seorang pesara guru, Zainuddin Abdul Halim, 61, walaupun tidak dapat menampung kerugian yang ada, tetapi rumah baharu itu sedikit sebanyak dapat membantu dia dan keluarga untuk meneruskan hidup.
Beliau berkata, rumah asalnya berkeluasan lebih 3,200 kaki persegi, namun kediaman yang diberikan kerajaan hanya berkeluasa kira-kira 1,200 kaki persegi.
“Apapun, terima kasih kepada KPKT, kepada kerajaan yang dapat siapkan rumah untuk kami berteduh. Sebelum ini, kira-kira dua bulan kami menumpang rumah anak-anak di Shah Alam.
“Selepas itu, kami menggunakan duit pencen untuk membaiki rumah asal yang rosak. Walaupun tidak sesempurna sebelum ini, jadilah untuk saya, isteri dan mak mertua yang uzur tinggal di rumah tersebut buat sementara waktu,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sentuhan Kejayaan SPNB dan penyerahan kunci kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Sungai Baru, Putra Heights, Puchong hari ini.
Pada majlis itu, Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyerahkan kunci kepada 18 keluarga kebakaran paip gas pada April lalu.
Penyerahan kunci itu dilakukan selepas SPNB dilantik sebagai agensi pelaksana bagi kerja baik pulih dan bina baharu 18 unit rumah tersebut, membabitkan peruntukan keseluruhan RM4.85 juta.
Mengulas lanjut, Zainuddin yang juga pesara guru berkata, dia rumah asalnya itu akan dijadikan sebagai rumah sewa bagi menampung perbelanjaan bulanan mereka sekeluarga selepas ini.
Seorang lagi mangsa, Mohd Radzi Mohd Rashid, 43, berkata, walaupun masih perlu memulakan kehidupan dari awal kerana ketiadaan air dan elektrik, dia tetap bersyukur kembali memiliki tempat berteduh.
Katanya, penerimaan kediaman baharu itu mampu berikan sinar kebahagian kepada keluarganya yang telah lapan bulan menantikan penghidupam baru.
“Alhamdulillah, walaupun keadaan masih perlu bermula dari kosong, tapi saya bersyukur akhirnya dapat juga tempat berteduh,” katanya.

Sementara itu, Marizah Omar, 58, seorang pesara guru, berkata dia bersyukur akhirnya memiliki rumah baharu.
“Selepas kejadian, saya tinggal di Shah Alam selama lebih kurang empat bulan di kondominium, dua bulan ditaja oleh SPNB dan selebihnya mendapat bantuan kerajaan. Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya dapat kembali ke tempat asal,” katanya.
Kebakaran yang berlaku pada April lalu menyebabkan Marizah melecur di beberapa bahagian badan, kejadian yang turut menimpa suami, anak dan cucunya yang berusia empat tahun.
“Dah dapat kunci ini, mungkin minggu depan dah boleh masuk walaupun rumah belum lengkap. Macam orang baru berkahwin juga, walaupun umur dah lanjut. Tapi kami sangat bersyukur dapat rumah baru, insya-Allah,” tambahnya.

Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming beramah mesra kepada penerima pada Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights
di Tapak No 8, Projek Kampung Sungai Baru, Putra Heights, Subang Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 DISEMBER 2025
Sementara tu Kor Ming dalam ucapannya berkata, susulan tragedi kebakaran paip gas itu KPKT telah menggerakan Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara bertujuan mengumpulkan dana bagi membantu mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana.
Katanya, melalui mekanisme itu, KPKT telah kerjasama strategik termasuk dengan pihak swasta untuk membaik pulih dan membina semula rumah-rumah terkesan.
Selaras dengan usaha ini, menurut beliau, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan semula di Kampung Kuala Sungai Baru sejak 1 Mei 2025.
Setakat akhir November, SPNB telah berjaya membina rumah baharu dan membaik pulih 15 unit rumah mangsa kebakaran Putra Heights di Kampung Kuala Sungai Baru dalam tempoh enam bulan.

Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika sesi penyerahan kunci kepada penerima pada Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights
di Tapak No 8, Projek Kampung Sungai Baru, Putra Heights, Subang Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 DISEMBER 2025
Katanya, baki tiga unit lagi sedang dalam proses melengkapkan dokumentasi oleh pemilik dan projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM4.85 juta.
“Kepada mangsa kebakaran, Kerajaan MADANI sentiasa bersama anda. Kami akan terus memantau situasi dan memberikan sokongan yang diperlukan. Semoga rumah baru yang diterima hari ini dapat memberikan anda kehidupan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette
















