logo polis
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang penuntut warga China maut dalam perjalanan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai selepas motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah lori di susur Kilometer 18, Jalan Johor Bahru-Pontian, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan tersebut pada pukul 10.45 pagi yang melibatkan motosikal jenis Honda Vario 150 dan sebuah lori Hino GH1.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa iaitu warganegara China yang berusia 19 tahun dari arah Paradigm Mall menuju ke UTM.

“Motosikal mangsa cuba memotong dari sebelah kiri di selekoh susur berkenaan sebelum bergesel dengan tayar belakang sebelah kiri lori tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan bahagian dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori tersebut pula katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin 011-35807871.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast