KUALA LUMPUR – Kumpulan Perbankan RHB (RHB) akan melanjutkan waktu operasi bagi semua cawangan RHB dan RHB Premier di seluruh Malaysia berkuat kuasa 1 Januari 2026, bagi memberikan pelanggan lebih masa dan fleksibiliti untuk mengurus keperluan perbankan mereka.
Operasi di semua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu bermula dari 9.15 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Khamis.
Manakala hari Jumaat dari jam 9.15 pagi hingga 4.15 petang.
Di Kelantan dan Terengganu pula operasi bermula pada jam 9.15 pagi hingga 5 petang pada hari Ahad hingga Rabu dan 9.15 pagi hingga 4.15 petang pada hari Khamis.
Waktu operasi bagi cawangan yang terletak di pusat membeli-belah kekal seperti sedia ada dan akan terus mengikut waktu operasi pusat membeli-belah berkenaan.
“Peningkatan ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk menjadikan perkhidmatan perbankan lebih mudah dan boleh diakses oleh pelanggan.
“Dengan melanjutkan waktu operasi, kami memberikan pelanggan lebih fleksibiliti dan menyokong keperluan kewangan mereka pada waktu yang lebih sesuai.,” kata Jeffrey Ng Eow Oo, Pengarah Urusan, Perbankan Komuniti Kumpulan, Kumpulan Perbankan RHB. – MalaysiaGazette
















