KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menggesa kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat insiden tembakan maut membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, langkah itu penting memandangkan kes berkenaan melibatkan anggota polis dan memerlukan penyiasatan yang benar-benar bebas serta bebas daripada konflik kepentingan.
“Saya menghargai tindakan Bukit Aman khususnya JSJ yang mengambil alih siasatan dan menubuhkan pasukan khas. Namun kebimbangan keluarga mangsa dan peguam mereka tidak boleh diketepikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saravanan merujuk kepada rakaman audio yang dibangkitkan keluarga mangsa yang didakwa bercanggah dengan kenyataan awal bahawa polis melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.
“Rakaman itu menimbulkan persoalan serius yang memerlukan penelitian teliti dan bebas. Semua bukti termasuk forensik, audio dan fakta lain mesti dinilai dengan rapi untuk menentukan apa sebenarnya berlaku malam itu,” ujarnya.
Beliau menegaskan penubuhan suruhanjaya bebas diperlukan bagi memastikan kes tersebut disiasat dengan ketelusan, integriti dan standard profesionalisme tertinggi, serta menghasilkan laporan yang boleh dipercayai oleh masyarakat.
Menurutnya, suruhanjaya itu perlu diberi mandat untuk menentukan keadaan sebenar kejadian, menilai sama ada penggunaan kekerasan mematuhi undang-undang dan SOP, serta mencadangkan tindakan tatatertib atau pendakwaan jika wajar.
Saravanan berkata, beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri (KDN) hari ini bagi menjelaskan keperluan mewujudkan suruhanjaya tersebut.
“Malaysia mesti memastikan kebenaran tidak disembunyikan dan keadilan tidak dilengahkan. Tidak ada keluarga yang harus merasa tidak didengari, dan tidak ada kesalahan yang patut dilindungi hanya kerana ia melibatkan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ketiga-tiga mangsa. -MalaysiaGazette
















