Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Laporan separuh pertama 2025 menunjukkan pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan di Terengganu meningkat kepada RM6 bilion, iaitu angka tertinggi dalam tempoh sedekad.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun hanya melibatkan enam projek utama, namun purata nilai bagi setiap projek itu adalah yang tertinggi di Malaysia.

Menurut beliau, ia menandakan tumpuan kepada pelaburan bernilai tinggi dan berimpak besar khususnya dalam sektor kimia, mineral bukan logam dan pemprosesan makanan.

“Peningkatan ini adalah hasil daripada dasar pelaburan negeri yang konsisten, kestabilan pentadbiran serta sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.

“Tahniah dan setinggi penghargaan kepada barisan kepimpinan negeri, pihak pengurusan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), anak-anak syarikat Kerajaan Negeri, pemain industri serta semua agensi yang terlibat atas dedikasi dan komitmen tinggi dalam menarik pelaburan strategik ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi negeri itu kekal seimbang, mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Ujarnya, ia akan dilaksanakan menerusi peluang pekerjaan, pembangunan industri serta kesejahteraan ekonomi yang lebih meluas.

Terdahulu pada awal bulan lalu, Ahmad Samsuri membentangkan Belanjawan Terengganu 2026 berjumlah RM1.938 bilion, iaitu meningkat sebanyak RM78 juta, berbanding RM1.860 bilion yang diperuntukkan tahun ini.

Menurut beliau, belanjawan bertemakan `Memacu Potensi Melonjak Prestasi’ itu menekankan tiga fokus iaitu memperkemaskan tadbir urus kerajaan bagi meningkatkan hasil, menstruktur daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan dan melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan inklusif. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast