Anjung Shawal 2026
Anjung Shawal 2026

KUALA LUMPUR — Puncak Niaga Maju Sdn Bhd (PNM) secara rasmi diumumkan sebagai penganjur Anjung Syawal 2026, sebuah program jualan utama di bawah kerjasama rasmi Perbadanan Putrajaya (PPj).

Anjung Syawal merupakan komponen penting dalam Festival Ramadan Putrajaya (FRP) di mana ia adalah acara besar tahunan anjuran penuh PPj yang menjadi tumpuan warga Putrajaya, Lembah Klang dan pengunjung dari seluruh negara.

Menurut pihak penganjur, Iman Azmi, sambutan tinggi itu didorong oleh minat besar dalam kalangan usahawan IKS dan peniaga pelbagai kategori produk berikutan harga sewaan berpatutan iaitu serendah RM5,500 untuk tempoh sebulan penuh.

“Tahun 2026 mencatat permulaan memberangsangkan apabila 150 tapak vendor terjual dalam hanya tujuh hari, sekali gus membuktikan keyakinan tinggi para peniaga terhadap FRP sebagai platform Ramadan yang stabil, berkualiti dan berimpak nasional.

“Pada masa ini, tapak berbaki hanyalah kategori Kuih Raya dan beberapa lot Zon Premium bagi peniaga yang masih berminat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan tema rasmi ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’, Anjung Syawal 2026 bakal menawarkan pengalaman Ramadan yang lebih segar, tersusun dan berbudaya.

Menurut Iman, pengisian mingguan merangkumi ceramah santai, sesi podcast, busking, tadarus al-Quran, pertunjukan busana, demo masakan, aktiviti keluarga dan program komuniti.

“Setiap minggu hadir dengan konsep tersendiri iaitu Ihsan Dalam Kehidupan, Kasih & Kesejahteraan, Syiar & Dakwah, dan Rindu Ramadan, Harmoni Lebaran.

“Selaras dengan Visit Malaysia 2026 dan sambutan 30 Tahun Putrajaya, Anjung Syawal turut menampilkan elemen pelancongan Islamik, pameran budaya, persembahan seni, zon interaktif dan program pelancong bagi menarik pengunjung domestik dan antarabangsa,” katanya lagi.

Lebih menarik, penambahbaikan utama tahun ini ialah penggunaan Vendor Management System (VMS) yang mana platform digital moden membolehkan vendor memantau jualan, menerima notifikasi penting dan mengurus operasi harian secara lebih efisien.

Inovasi itu jelas Iman meletakkan Anjung Syawal sebagai antara bazar Ramadan paling teratur dan berorientasikan data di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast