AYER KEROH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Ucapan sedih itu disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 hari ini.
“Pagi ini kita dikejutkan dengan pemergian Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta, awal pagi tadi.
Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas di sini selepas solat Jumaat.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 baru-baru ini Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Pada Pilihan Raya Umum ke-10 iaitu pada November 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.
Dilahirkan pada 15 Sept 1959 di Sukau, Kinabatangan, Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak. – MalaysiaGazette
















